KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial, Mekyun, 29, berpandangan tidak menjadi kesalahan bagi individu bukan beragama Islam untuk mencuba berpuasa pada Ramadan bagi mencari pengalaman baharu.
Gadis berketurunan Cina dari Kelantan yang banyak menghasilkan andungan berunsur budaya dan gaya hidup ini bagaimanapun berkata, puasa perlulah dilakukan dengan penuh rasa hormat dan tidak menyinggung sensitiviti umat Islam.
“Bagi saya, tidak salah untuk seseorang yang bukan beragama Islam henda cuba berpuasa, asalkan kita tidak melanggar akidah orang Islam.
“Itu antara perkara yang saya percaya. Saya juga ada keluarga yang beragama Islam di Kelantan.
“Selain itu, peminat saya pula sangat menghormati apa yang saya buat dan mereka sentiasa beri sokongan,” katanya pada acara Melodi Glam Raya Runway anjuran TV3 di Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Tun Razak Exchange (TRX) di sini, baru-baru ini.
Mekyun atau nama sebenar, Wee Yun Nee, berkata dia pernah cuba berpuasa bersama keluarga sebagai tanda menghormati rakan serta pengikut beragama Islam.
“Sejujurnya. saya tidak berpuasa setiap hari. Saya juga tidak dapat berpuasa banyak hari macam abang saya, tetapi, saya ada cuba.
“Sebagai contoh, hari pertama Ramadan tempoh hari, saya berpuasa dengan emak dan ayah. Ada juga hari-hari yang lain saya cuba,” katanya.
Bagaimanapun, Mekyun berkata, buat masa ini. dia tidak mampu berpuasa setiap hari atas faktor kemampuan diri dan komitmennya terhadap pekerjaan.
“Setakat ini, saya ada cuba berpuasa tiga hari. Mungkin sebab saya sibuk, jadi, belum ada semangat yang betul-betul kuat lagi untuk berpuasa sambil bekerja.
“Saya harap satu masa nanti boleh lebih kerap berpuasa dan masih ada lagi masa untuk saya cuba,” katanya.
Mekyun terbabit dalam acara Melodi Glam Raya Runway dianjurkan dalam tren MRT Kajang Line yang menampilkan kelainan. Acara itu menggabungkan elemen hiburan, fesyen dan promosi produk dari Stesen MRT Bandar Utama menuju Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX).
Kredit : Berita Harian
