SAMBUTAN hari raya di Malaysia, Brunei, Singapura juga di Indonesia selalu indah dengan pilihan kebanyakan wanita yang selesa menyarungkan baju kurung. Malah, pengalaman membeli-belah di Thamrin Jakarta, dapat dilihat baju kurung mendominasi trend baju raya. Melengkapkan lagi, baju Melayu juga menjadi pilihan kebanyakan lelaki, tidak kira muda atau tua.
Baju warisan Melayu itu sebenarnya tidak hanya jadi pilihan pada musim perayaan, sebaliknya ia turut dipakai pada majlis perkahwinan, terutama dalam kalangan keluarga pengantin.
Agak menarik juga untuk diketahui, umumnya di Johor dan Singapura, baju kurung merujuk kepada pakaian tradisional Melayu yang dipakai oleh lelaki dan perempuan. Di tempat lain, baju Melayu merujuk kepada pakaian lelaki, sedangkan baju kurung khas merujuk kepada pakaian tradisional perempuan.
Baju kurung mungkin sudah lama wujud dalam sejarah busana Melayu. Pada hujung abad ke-19 sewaktu pemerintahan Sultan Abu Bakar di Johor, (1885-1895) baju kurung mendapat tempat. Baginda yang terkenal sebagai “Bapa Johor Moden,” mahukan rakyatnya, berpendidikan, sihat, maju dan tertib.
Antara ketertiban itu adalah pemakaian yang rapi dan bagus dalam kalangan rakyat. Justeru, baju kurung dilihat sebagai antara ketertiban rakyat untuk lebih kemas dan berbudaya. Di Johor, baju kurung jenis Teluk Belanga selalu jadi pilihan, demikian juga di Singapura. Malah elit Johor memakai baju kurung jenis Teluk Belanga dengan gaya anggun dan bangga, yang dapat dilihat sehingga hari ini.
Satu lagu jenis baju kurung yang popular adalah Cekak Musang. Baju kurung ini dipakai oleh raja dan rakyat. Malah pemakaian golongan istana menjadi ‘standard bearer’ pada baju kurung yang bagus dan bermutu.
Tidak terhad di Malaysia dan Singapura, kita dapat melihat di daerah Nusantara yang lain, baju kurung ini menjadi pilihan. Masyarakat Melayu di Medan, Siak, Kepulauan Riau dan Jambi, masih memakai baju kurung sewaktu acara penting seperti majlis perkahwinan atau musim perayaan.
Di Tanjung Pinang, setiap Jumaat, anak-anak sekolah akan memakai baju Melayu sebagai baju seragam, tanpa mengira latar etnik mereka. Begitu juga masyarakat Melayu di Sarawak, tidak janggal melihat rata-rata jemputan memilih baju Melayu dan baju kurung, untuk menghadiri majlis perkahwinan.
Di Brunei, pemakaian baju Melayu sangat diperhatikan dalam acara rasmi negara. Malah adat istiadat masuk ke istana di sana, harus akur pada warna yang ditetapkan bergantung pada upacara yang dilangsungkan.

Di Selatan Thailand, gerakan memakai baju tradisional Melayu semakin bersemarak. Dari sosial media, kita dapat melihat anak-anak muda, khasnya lelaki, memakai baju Melayu siap dengan samping dan tanjak.
Baju kurung adalah pakaian yang boleh dipakai baik bangsawan ataupun rakyat. Ia juga dipakai oleh bukan Melayu juga, sebagaimana yang boleh dilihat di Malaysia. Wanita Malaysia tanpa mengira latar belakang dan pangkat, sama ada menteri, guru sekolah, doktor dan ahli korporat, sudah banyak yang memakai baju Melayu, termasuk dalam acara rasmi.
Justeru, apa yang diperlukan sebenarnya adalah pembuatan baju kurung yang bermutu bagi membantu mengekalkan identiti Melayu. Ia perlu dilengkapkan dengan fabrik yang baik, jahitan kemas, dan potongan baju yang bergaya tentunya menjadi pilihan.
Hari ini baju kurung tersedia dari butik eksklusif hinggalah ke kedai-kedai biasa di jalanan, terutama sewaktu bazar raya. Malah boleh juga dibeli dalam talian dengan pilihan pelbagai jenama dan jaminan kualiti. Hal ini berbeza dengan zaman dahulu, busana ini perlu ditempah dan mengambil masa untuk disiapkan.
Dengan gemencarnya pemakaian baju kurung, minat dan permintaan pada songket juga meningkat. Khasnya songket kain samping yang dipadankan dengan baju Melayu. Begitulah pula pada songkok dan capal atau sandal untuk lelaki. Bagi wanita pula, tarikan juga pada hijab, selendang di bahu, butang leher dan kerongsang.
Di sinilah dapat kita lihat betapa minat dan keperdulian memakai busana tradisional seperti baju kurung akan melahirkan minat pada gaya dan hiasan tradisional yang lain. Ertinya semakin meningkat permintaan dan minat memakai, baju kurung akan kekal menjadi pilihan
Namun, tantangan sekarang adalah mengekalkan momentum pada minat dan perkembangan baju Melayu ini. Bila ada suasana kebudayaan yang proaktif, dengan kegiatan kebudayaan semakin menguat, ia akan membawa kepada permintaan tinggi untuk memakai baju Melayu.
Teladan daripada pemimpin negara juga boleh memberi isyarat yang penting. Bila pemimpin negara sedia memakai pakaian tradisional, ini pasti mendapat tarikan kepada rakyat umumnya. Juga perlu ada saranan daripada tokoh budaya yang bergerak mempromosi dan memberikan makna kepada segi-segi busana Melayu.
Pada dekad-dekad lalu Malaysia beruntung mempunyai tokoh budayawan yang sangat memerhatikan pemeliharaan busana Melayu tradisional, iaitu Allahyarhamah Azah Aziz yang aktif menulis dalam beberapa majalah perihal busana Melayu. Antara tulisan beliau yang kekal jadi rujukan berjudul Rupa dan Gaya Busana Melayu (2006). Azah antara individu yang melakukan kajian mengenai warisan ini, malah pada 1989, beliau sempat menulis mengenai pengabaian terhadap busana tradisional Melayu.
Antara tahun 80-an dan 90-an, muncul trend baju mini kurung, iaitu potongan yang lebih mengikut bentuk badan. Namun trend ini juga tidak lama kerana diganti dengan pemakaian gamis atau jubah kian lebih meluas, sehinggakan pakaian tradisional jarang terpakai, khasnya kebaya.
Hari ini, baju kurung kelihatan semakin bersemarak malah turut memaut hati wanita-wanita di Jawa yang memilih baju kurung. Hal ini mungkin pengaruh daripada sekeliling selain ramai daripada mereka yang bekerja di Malaysia.
Hal ini membangkitkan ingatan pada mutiara kata Azah, “pakaian adalah suatu sifat yang boleh menimbulkan peribadi dan identiti sesuatu bangsa.” Usaha beliau menyebar dan meletakkan prestij pada baju kurung ternyata semakin berjaya, semoga busana warisan ini kekal memaut hati dan tampil lebih segak, lawa dan berkualiti
– Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura
Kredit : Berita Harian