KUALA LUMPUR: Abby Abadi memberi kata-kata semangat kepada anaknya, Marissa Dania Hakim yang dilapor berdepan kemelut rumah tangga apabila berlaku lafaz cerai dan rujuk sebanyak dua kali antara dia dan suami, Ahmad Aslam.
Abby atau nama sebenar, Arbaiyah Abdul Manan, 49, menasihatkan Marissa agar tidak terburu-buru dalam membuat keputusan hidup, sebaliknya, mengambil masa untuk mengenali dunia serta memahami erti kehidupan sebenar.
“Pusing-pusing dahulu lihat keindahan bumi ciptaan Allah ini. Bagi peluang untuk diri merasa nikmat kehidupan yang anugerahkan,” luahnya melalui coretan Instagram (IG).
Abby turut menasihati Marissa agar tidak membuat keputusan hanya kerana dipengaruhi insan sekeliling, sebaliknya, berdasarkan nilai yang mampu memberi makna kepada kehidupan sendiri.
“Kalau hari ini Adik (panggilan untukMarissa) belum faham erti hidup, tidak mengapa… Apa yang penting terus belajar.
“Jangan buat sesuatu sebab ramai buat, tetapi, buat apabila sesuatu itu memberi nilai untuk hidup Adik.
“Nilai hidup bukan pada siapa paling hebat, tetapi, pada jiwa dan hati yang tenang..,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abby sebagai ibu penyayang menegaskan bahawa usia Marissa yang masih muda memberi ruang untuk belajar daripada kesilapan, sekali gus membentuk kematangan diri.
“Nasihat Mama, Adik baru berusia 20 tahun. Kesilapan itu bukan makna Adik gagal.
“Tapi itu tanda sedang belajar jadi manusia yang lebih baik dan matang. Anak Mama kuat! Insya-Allah sekali lagii…,” katanya.
Sebelum ini, Pasangan pempengaruh Ahmad Aslam dan Marissa Dania Hakim hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk.
Peguam syarie mewakili Ahmad Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, berkata anak guamnya memfailkan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu.
Menurutnya, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, atau Aslam melafazkan lafaz cerai dan rujuk terhadap isteri keduanya itu sebanyak dua kali iaitu pada September 2024 dan kembali rujuk pada bulan sama.
Aslam kemudian melafazkan cerai buat kali kedua pada April 2025 dan pasangan itu difahamkan kembali rujuk pada Jun.
Kredit : Berita Harian