KUALA LUMPUR: Penyanyi Syamel menafikan dakwaan merangkul pinggang pelakon, Sharmaine Alexander ketika penggambaran video muzik single terbaharunya berjudul Pertama.

Syamel menjelaskan dia tidak bersentuhan dengan finalis Dewi Remaja 2025 itu ketika menjayakan babak dalam lif, sebaliknya, sudut rakaman kamera menampakkan seolah-olah mereka rapat.

“Saya tidak jangka timbul banyak komen dan ramai melampiaskan apa yang mahu diperkatakan. Melihatkan ini, perkara pertama yang saya buat adalah hubungi isteri, Ernie Zakri.

“Ernie tanya sama ada betul atau tidak dakwaan itu. Saya jelaskan tiada sentuhan. Selepas tonton rakaman babak itu secara teliti, memang jelas, tiada sentuhan.

“Namun, mungkin dari sudut tertentu, tampak seperti ada sentuhan. Saya juga hubungi Sharmaine untuk bertanya semula sama ada kami bersentuhan atau tidak. Dia cakap memang tiada,” katanya ditemui pada majlis tayangan video muzik Pertama di TGV Cinema, Pavilion Bukit Jalil di sini, hari ini.

Selepas menerima pelbagai maklum balas dan komen peminat di Threads berhubung perkara itu, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly memilih untuk memohon maaf termasuk menjelaskan situasi sebenar kepada isterinya.

Syamel berjanji akan lebih peka dengan perkara yang akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam kalangan peminat.

“Jadi, saya ambil pendekatan untuk minta maaf. Kadang-kadang kita hendak sajikan sesuatu kepada peminat, tetapi, perlu peka dengan sensitiviti mereka… Itu yang lebih penting.

“Saya anggap semua itu secara positif. Terima kasih kepada yang masih ambil berat dan menjaga. Cuma biasalah, dalam banyak komen itu, mesti ada juga satu dua yang agak keras,” katanya.

Sebelum ini, Syamel menerima kecaman ramai selepas memuat naik video pendek penggambaran babak dalam lif bersama Sharmaine di Threads yang didakwa seolah-olah menunjukkan dia merangkul pinggang wanita itu.

Malah, ada peminat yang meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen termasuk ada bertanyakan mengenai perasaan Ernie jika menonton klip video berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Syamel muncul dengan single berentak groovy dan moden berjudul Pertama hasil ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim, sekali gus menjadi karya yang membuka lembaran baharu buat dirinya.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *