KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk pasangan pempengaruh, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, dan isterinya, Marissa Dania Hakim, 21, selesai di sini, hari ini, namun, keputusan hanya diumumkan pada tarikh lain.

Peguam syarie, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk Aslam dan Marissa selesai kira-kira sejam di hadapan hakim syarie, Nadiah Khamis.

“Alhamdulillah perbicaraan selesai, iaitu untuk kedua-dua kes pengesahan lafaz cerai dan pengesahan rujuk,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Muhammad Ammar berkata, Aslam dan Marissa bagaimanapun meminta agar tarikh mahkamah memberi keputusan atas perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk, tidak dimaklumkan kepada media.

“Apa yang berlaku, tidak dibenarkan untuk kongsi (oleh anak guam). Doakan yang baik-baik sahaja.

“Masih suami isteri atau tidak, selagi mahkamah tidak putuskan apa-apa, itulah statusnya. Kita kena tunggu apa yang mahkamah putuskan,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Ammar menjelaskan anak guam, iaitu Aslam memaklumkan berlaku lafaz rujuk bagi kedua-dua perceraian pada 2024 dan 2025.

Susulan itu, permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan difailkan oleh Aslam pada 10 Mac lalu.

Terdahulu, pasangan Aslam dan Marissa tiba bersama di kompleks mahkamah kira-kira jam 10 pagi tadi, namun, masing-masing enggan mengulas ketika disapa media.

Mei tahun lalu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah bagi tujuan pengesahan pernikahan selepas setahun, iaitu mereka bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Difahamkan, ketika perkahwinan itu, Aslam masih berstatus suami kepada Umisya Mazlan dan perkahwinan didakwa berlangsung tanpa pengetahuan isteri pertama dan keluarga, termasuk ibu bapa Marissa, iaitu pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.

Kisah pasangan ini menjadi perhatian sebaik Ahmad Aslam bernikah dengan Marissa di Songkhla. Pernikahan itu dikatakan berlangsung ketika isteri pertama Ahmad Aslam sedang mengerjakan umrah.

Pernikahan mereka juga dilaporkan berlangsung tanpa pengetahuan ibu bapa Marissa.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *