Kopi Atau Matcha, Minuman Berkafein Mana Lebih Baik?

Minuman seperti matcha dan kopi kini semakin menjadi pilihan ramai, terutamanya dalam kalangan anak muda dan golongan yang sentiasa aktif.

Jika dahulu kopi lebih sinonim dengan minuman untuk “pembuka mata” di waktu pagi, kini ia sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian.

Begitu juga dengan matcha, yang terkenal dengan warna hijau unik serta rasa yang lembut, semakin mendapat tempat di hati pencinta minuman sihat dan moden.

Kedua-dua minuman ini bukan sahaja dinikmati kerana rasanya, malah turut dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan dan trend gaya hidup masa kini.

Justeru, SK kali ini akan menghuraikan perbezaan, kelebihan dan kekurangan kedua-dua minuman tersebut.

Perbandingan nutrien

Menurut Healthline, kedua-dua kopi dan matcha mengandungi kalori yang sangat rendah apabila disediakan tanpa bahan tambahan seperti susu, gula, krim atau sirap perisa.

Secawan matcha standard disediakan dengan mencampurkan satu sudu teh (lebih kurang dua gram) serbuk matcha dengan dua auns (60 mL) air panas, manakala kopi biasanya dibancuh menggunakan air panas.

Berikut ialah perbandingan nutrisi bagi hidangan standard setiap minuman iaitu secawan kopi bancuhan lapan auns (240 mL) dan secawan matcha dua auns (60 mL).

Selain itu, kopi mengandungi sekitar 96 mg kafein bagi setiap cawan lapan auns (240 mL), manakala matcha mengandungi 19–44 mg kafein bagi setiap gram, bersamaan 38–88 mg bagi hidangan dua auns (60 mL) jika disediakan mengikut cara standard.

Variasi yang besar dalam kandungan kafein matcha ini bergantung pada jumlah serbuk yang digunakan, jenis dan kesegaran daun yang dipakai untuk menghasilkan serbuk tersebut, suhu air serta tempoh rendaman atau bancuhan.

Sebenarnya, kedua-dua minuman ini mempunyai rasa pahit.

Rasa matcha digambarkan seperti berumput atau berunsur tanah, manakala kopi terkenal dengan rasa yang dipanggang serta kadangkala mempunyai aroma dan rasa seperti kacang atau coklat.

Berikut adalah manfaat yang sama antara matcha dan kopi

Menurut Healthline lagi, kopi dan matcha terkenal dengan pelbagai kesan yang menyokong kesihatan.

Membantu untuk menurunkan berat badan

Kafein dalam matcha dan kopi boleh membantu penurunan berat badan dengan mengaktifkan tisu lemak perang (brown fat) serta meningkatkan penggunaan tenaga dan pengoksidaan lemak.

Lemak perang dipercayai dapat melindungi daripada pengumpulan lemak dalam badan kerana ia mampu menghasilkan haba dan memetabolismekan nutrien seperti glukosa dan lemak.

Beberapa kajian juga menunjukkan kafein boleh meningkatkan kadar metabolisme sehingga 13 peratus selama kira-kira tiga jam.

Selain kafein, kopi mengandungi asid klorogenik (CGA), manakala matcha kaya dengan epigallocatechin gallate (EGCG). Kedua-dua CGA dan EGCG telah dikaji kerana potensi membantu penurunan berat badan.

Menyokong kesihatan jantung

Di samping itu, pelbagai sebatian dalam matcha dan kopi boleh membantu mengurangkan beberapa faktor risiko penyakit jantung.

Kandungan polifenol boleh mengurangkan penggumpalan platelet, sekali gus membantu mencegah penyumbatan arteri dan mengurangkan risiko serangan jantung.

Polifenol juga membantu melonggarkan saluran darah, yang boleh menurunkan tekanan darah tinggi.

Selain itu, EGCG dalam teh hijau boleh membantu menurunkan tekanan darah serta mengurangkan kolesterol total, LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida dengan menghalang penyerapan lemak dalam usus.

Walau bagaimanapun, kopi tanpa penapisan mengandungi cafestol dan kahweol yang boleh meningkatkan kolesterol total, LDL dan trigliserida.

Untuk pengetahuan, minum kopi atau matcha juga boleh memberikan beberapa manfaat tambahan iaitu dapat meningkatkan mood dan fungsi otak melalui kesan kafein, L-theanine dan EGCG yang membantu fokus, ingatan dan masa tindak balas

Dalam pada itu, ia juga menyokong kesihatan hati, termasuk mengurangkan risiko penyakit hati berlemak, sirosis dan fibrosis hati.

Perbezaan utama

Healthline melaporkan kedua-dua minuman ini boleh memberikan rangsangan tenaga, namun cara ia berfungsi adalah berbeza.

Kopi terkenal kerana memberikan peningkatan tenaga yang cepat, mengurangkan rasa mengantuk dan keletihan.

Difahamkan, ini berlaku kerana badan menyerap sehingga 99 peratus kafein dengan cepat, dan tahap maksimum dalam darah boleh dicapai seawal 15 minit selepas pengambilan.

Selepas diserap, kafein boleh menembusi penghalang otak dan menyekat reseptor adenosin iaitu sebatian yang menggalakkan rasa mengantuk, sekali gus membantu anda kekal berjaga.

Walaupun matcha juga mengandungi kafein, namun kesannya lebih perlahan berbanding kopi.

Matcha turut mengandungi L-theanine, sejenis asid amino dalam tumbuhan teh hijau yang boleh mengurangkan tekanan dengan meningkatkan gelombang alfa dalam otak.

Seperti kafein, L-theanine juga boleh menembusi penghalang otak dan mencapai tahap maksimum dalam kira-kira 30 minit.

Apabila digabungkan dengan kafein, L-theanine boleh mengurangkan keletihan sambil meningkatkan rasa fokus dan kewaspadaan.

Kelebihan matcha

Selain manfaat yang telah dinyatakan sebelum ini, antara kelebihan matcha ialah:

Menyokong relaksasi

L-theanine dalam matcha boleh meningkatkan gelombang alfa dalam otak, yang membantu menenangkan minda tanpa menyebabkan rasa mengantuk.

Menyokong kesihatan mulut

Berbeza dengan kopi, matcha mungkin membantu meningkatkan kesihatan mulut, yang juga berkait rapat dengan kesihatan keseluruhan tubuh.

Mudah disediakan

Untuk menyediakan matcha, hanya perlu mencampurkan serbuk matcha dengan air panas dan kacau. Tidak memerlukan peralatan khas.

Kekurangan matcha

Lebih mahal

Walaupun bergantung pada kualiti, matcha biasanya lebih mahal berbanding kopi.

Risiko ketoksikan hati

Pengambilan EGCG dan polifenol dalam jumlah tinggi boleh berpotensi menyebabkan kerosakan hati, walaupun kajian lanjut masih diperlukan.

Risiko bahan pencemar

Oleh kerana matcha diperbuat daripada daun teh hijau yang dikisar, terdapat risiko terdedah kepada logam berat seperti plumbum dan arsenik jika sumber tidak berkualiti.

Kelebihan kopi

Menurut Healthline, secara umum, kopi lebih murah berbanding matcha, bergantung pada kualiti.

Dapat mengurangkan risiko diabetes jenis 2

Kopi berkafein atau tanpa kafein boleh membantu meningkatkan penanda kesihatan berkaitan diabetes jenis 2 dan mengurangkan risikonya sehingga 12 peratus bagi setiap dua cawan sehari.

Mudah didapati

Kopi mudah diperoleh di mana-mana, sama ada di kafe, restoran, pasar raya atau dalam bentuk sedia minum.

Kekurangan kopi

Boleh menyebabkan kebergantungan

Kafein merupakan bahan yang merangsang sistem saraf pusat, dan pengambilan berlebihan boleh menyebabkan kebergantungan atau gangguan penggunaan kafein.

Kesan sampingan yang tidak diingini

Sesetengah individu mungkin mengalami insomnia, rasa gelisah, degupan jantung meningkat, sakit kepala dan kebimbangan, sama ada ketika mengambil atau berhenti minum kopi.

Perlu dipertimbangkan sebelum membuat pilihan

Menurut Healthline lagi, kopi dan matcha merupakan dua minuman berkafein yang popular.

Kedua-duanya kaya dengan antioksidan dan turut berkongsi beberapa manfaat kesihatan.

Sebagai contoh, kedua-duanya berpotensi membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser, selain menyokong penurunan berat badan serta meningkatkan tahap tenaga.

Namun begitu, kedua-dua minuman ini juga mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat pilihan antara satu sama lain.

Kredit : Siakap Keli

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *