KUALA LUMPUR: Pelakon Norreen Iman yang sebelum ini menepis dakwaan rumah tangga dengan suami, Raizi Raz berantakan, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini untuk prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai.

Norreen atau nama sebenar, Norreen Iman Abdullah, 32, yang memakai jubah hitam hadir bersama Raizi atau nama penuh, Mohd Raizi Abd Razak pada prosiding itu.

Prosiding itu berlangsung di hadapan hakim syarie, Nadiah Khamis pada jam 9 pagi. Difahamkan, pengesahan lafaz cerai difailkan Norreen sebagai plaintif, bulan ini.

Bagaimanapun, Norreen dan Raizi masing-masing enggan mengulas ketika ditanya media mengenai prosiding yang diikuti, selepas dilihat keluar dari dewan bicara, kira-kira jam 1.30 petang tadi.

“Smile (senyum). Saya cuma rasa lapar saja sekarang ini,” kata Norreen ringkas sambil berlalu.

BH Online masih berusaha mendapatkan maklumat berhubung prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai pasangan ini. Namun, difahamkan, ini adalah sebutan pertama bagi prosiding berkenaan.

Menurut pemerhatian, pasangan ini hadir tanpa ditemani peguam syarie.

Terdahulu, timbul dakwaan rumah tangga Norreen dan suami bergolak kerana tidak lagi berkongsi gambar dan kandungan bersama di media sosial.

Pada Ogos tahun lalu, ketika ditemubual BH Online, Norreen mengakui hubungan mereka baik, cuma memilih untuk tidak lagi berkongsi foto atau kandungan berkaitan suami dan keluarganya seperti selalu.

Norreen dan Raizi mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *