KEBELAKANGAN ini, hati kita berkali-kali luluh membaca berita keganasan melampau. Seorang isteri dipukul hingga koma oleh suami sendiri, seorang ibu sedang mengandung kehilangan bayinya selepas dibelasah dan seorang pelajar perempuan masih muda diragut nyawanya dengan kejam.
Tragedi ini sudah cukup menyakitkan, namun apa yang lebih menghiris hati adalah apabila melihat reaksi sebahagian masyarakat di media sosial yang bukannya menghulurkan simpati, tetapi sebaliknya sibuk mencari alasan untuk menyalahkan mangsa.
Kita sering melihat komen yang seolah-olah cuba memindahkan beban dosa daripada pelaku kepada mereka yang menderita: “Kenapa dia tak lari awal-awal?”, “Mesti dia ada buat salah sampai suami dia mengamuk,” atau “Budak perempuan itu pun satu, kenapa keluar dengan lelaki macam tu?”
Inilah realiti victim-blaming atau budaya menyalahkan mangsa yang semakin parah. Kita seolah-olah menuntut mangsa menjadi manusia yang ‘sempurna’ barulah mereka layak dibela. Jika ada sedikit sahaja cacat cela dalam hidup mereka, jenayah yang dilakukan oleh pelaku seolah-olah dipadamkan begitu sahaja.
Pilih ‘mati’ dalam diam
Bayangkan, sudahlah tubuh lebam dan jiwa trauma, mangsa terpaksa pula berdepan dengan juri tidak bertauliah di internet. Kata-kata nista dan pandangan serong masyarakat inilah yang membuatkan ramai mangsa memilih untuk ‘mati’ dalam diam. Mereka takut untuk bersuara kerana tahu mereka akan dihakimi, bukan dilindungi.
Data daripada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) juga mengesahkan perkara sama, iaitu ramai mangsa keganasan rumah tangga lebih rela menanggung derita sendirian kerana tidak sanggup berdepan dengan cemuhan masyarakat.
Kita perlu sedar satu perkara, keganasan berlaku bukan kerana mangsa lemah, tetapi kerana pelaku memilih untuk menjadi zalim.
Apabila kita menyalahkan mangsa, kita sebenarnya sedang memberi ‘lesen’ kepada pelaku untuk terus bermaharajalela. Kita memberi mesej bahawa perbuatan jahat itu ada alasannya, sedangkan tiada satu pun alasan di dunia ini yang menghalalkan keganasan.
Jika kita tidak berubah, kita akan melahirkan generasi yang takut untuk menegakkan kebenaran. Kita akan hidup dalam masyarakat yang lebih simpati kepada pemangsa berbanding mangsa.
Sudah tiba masanya kita berhenti menjadi ‘hakim’ di atas penderitaan orang lain. Anak sekolah perlu diajar erti empati iaitu bagaimana mahu menghormati ruang dan hak orang lain. Media perlu berhenti menggunakan tajuk berita yang sensasi hingga menggadai maruah mangsa. Di media sosial pula, sebelum menekan butang hantar, tanyalah diri sendiri: “Adakah komen aku ini membantu atau sekadar menambah luka?”
Mangsa tidak perlukan belas kasihan kosong. Mereka perlukan keadilan dan sistem sokongan yang teguh. Jangan biarkan suara kita menjadi sebahagian daripada penderitaan mereka. Kerana setiap kali kita menuding jari kepada mangsa, kita sebenarnya sedang berdiri di belakang pelaku.
Penulis adalah Noorlinda Alang, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak
Kredit : Berita Harian
