TIDUR keperluan asas bagi setiap manusia untuk memastikan tubuh dan minda berfungsi dengan baik.

Namun, dalam kehidupan moden serba sibuk yang dipenuhi dengan tuntutan pekerjaan, pelajaran serta rutin harian padat dan berterusan, ramai individu cenderung mengabaikan kepentingan tidur yang mencukupi.

Kesibukan dan tekanan hidup menyebabkan waktu tidur sering dikorbankan tanpa disedari.

Persoalannya, apakah yang akan berlaku jika individu itu tidak mendapat tidur yang mencukupi?

Hakikatnya, kekurangan tidur boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan fizikal, mental, dan juga kehidupan seharian seseorang.

Antara kesan utama tidak cukup tidur ialah penurunan tahap tumpuan dan daya ingatan.

Apabila seseorang tidak mendapat rehat mencukupi, otak tidak dapat berfungsi secara optimum.

Hal ini menyebabkannya sukar untuk memberi tumpuan terhadap tugas harian, mudah lupa, dan lambat membuat keputusan.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan prestasi kerja atau pembelajaran, malah boleh meningkatkan risiko berlakunya kemalangan, terutama ketika memandu atau mengendalikan mesin.

Selain itu, kekurangan tidur juga memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal.

Individu yang tidak cukup tidur sering berasa letih, lesu, dan tidak bertenaga.

Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh melemahkan sistem imun badan, sekali gus menjadikannya lebih mudah jatuh sakit.

Bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan, kurang tidur juga boleh meningkatkan lagi risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, dan penyakit jantung.

Hal ini berlaku kerana tubuh tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memulihkan dan memperbaiki sel-sel rosak.

Dari sudut kesihatan mental pula, tidak cukup tidur boleh menyebabkan emosi seseorang menjadi tidak stabil.

Individu mungkin menjadi lebih mudah marah, stres, letih dan cemas. Malah, kekurangan tidur yang berpanjangan boleh menyumbang kepada masalah lebih serius seperti kemurungan. Apabila otak tidak mendapat rehat yang secukupnya, keseimbangan bahan kimia dalam otak akan terganggu, sekali gus menjejaskan rutin harian serta menyebabkan pelbagai kecuaian dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, kekurangan tidur turut memberi kesan terhadap penampilan diri.

Individu yang tidak cukup tidur biasanya akan kelihatan lesu, mata menjadi merah, muncul lingkaran hitam di bawah mata, kulit kelihatan kusam, malah jerawat mudah tumbuh di wajah. Dalam jangka masa panjang, kurang tidur juga boleh mempercepatkan proses penuaan kerana kulit tidak mendapat masa yang mencukupi untuk memperbaiki dirinya.

Tidak cukup tidur juga boleh menjejaskan produktiviti harian. Individu yang keletihan cenderung melakukan kesilapan, bekerja dengan lebih perlahan, dan kurang kreatif dalam menyelesaikan masalah.

Hal ini boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi di tempat kerja atau di sekolah, seterusnya menjejaskan pencapaian seseorang dalam jangka masa panjang.

Justeru, tidur yang mencukupi amat penting untuk memastikan kesihatan fizikal dan mental sentiasa berada dalam keadaan baik. Kekurangan tidur bukan sahaja menjejaskan fungsi otak dan tubuh, malah boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan serius.

Setiap individu haruslah mengambil berat mengenai keperluan tidur dengan mengamalkan rutin tidur yang teratur dan memastikan mendapat rehat yang mencukupi setiap hari.

Tidur bukanlah satu pembaziran masa, sebaliknya pelaburan penting untuk kesejahteraan hidup.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *