PADA masa kini, ramai individu yang sudah mula mengambil berat mengenai kesihatan dan penampilan diri.

Salah satu usaha yang sering dilakukan ialah berdiet untuk menurunkan berat badan.

Ada yang mengurangkan pengambilan nasi, mengelakkan makanan berminyak. Ada juga yang sanggup berlapar demi mendapatkan bentuk badan yang diinginkan.

Namun, tidak semua individu berjaya menurunkan berat badan walaupun sudah lama berdiet.

Keadaan ini menimbulkan rasa kecewa dan menyebabkan mereka kehilangan motivasi untuk meneruskan diet.

Persoalannya, mengapakah berat badan masih sukar diturunkan walaupun seseorang itu sudah berdiet?

Sebenarnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku.

Antara punca berat badan sukar turun ialah pengambilan kalori yang masih berlebihan tanpa disedari.

Ramai individu beranggapan bahawa mereka sudah berdiet hanya dengan mengurangkan pengambilan makanan berat seperti nasi atau mi.

Namun, mereka mungkin masih mengambil makanan ringan, minuman manis dan snek yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi.

Sebagai contoh, teh ais, kopi segera dan minuman berkarbonat yang mengandungi jumlah gula yang tinggi serta boleh meningkatkan jumlah kalori harian.

Walaupun makanan utama dikurangkan, pengambilan kalori secara berlebihan tetap menyebabkan lemak terkumpul dalam badan.

Selain itu, kurang melakukan aktiviti fizikal juga menjadi faktor berat badan sukar turun.

Diet semata-mata tanpa senaman mungkin tidak memberikan hasil yang memuaskan.

Aktiviti fizikal seperti berjalan, berjoging, berbasikal dan bersenam membantu membakar kalori serta meningkatkan kadar metabolisme badan.

Jika seseorang hanya menjaga pemakanan tetapi tidak aktif bergerak, proses pembakaran lemak akan menjadi lebih perlahan. Tambahan pula, gaya hidup moden yang banyak menghabiskan masa duduk di pejabat atau di rumah menyebabkan badan kurang menggunakan tenaga.

Kesannya, kalori yang tidak dibakar akan disimpan sebagai lemak.

Tidur yang tidak mencukupi juga boleh mempengaruhi berat badan seseorang.

Ramai memandang remeh kepentingan tidur yang berkualiti sedangkan ia memainkan peranan penting dalam mengawal hormon badan.

Kurang tidur boleh menyebabkan hormon yang mengawal rasa lapar menjadi tidak seimbang.

Keadaan ini akan menyebabkan seseorang mudah berasa lapar dan cenderung untuk makan secara berlebihan, terutama pada waktu malam.

Faktor tekanan atau stres juga tidak boleh dipandang ringan. Kehidupan sibuk, masalah pekerjaan, dan tekanan emosi boleh menyebabkan seseorang mengalami stres yang berpanjangan. Apabila seseorang berada dalam keadaan tertekan, badan akan menghasilkan hormon kortisol yang boleh meningkatkan selera makan.

Ada individu yang menjadikan makanan sebagai cara untuk menghilangkan tekanan atau menenangkan emosi.

Akibatnya, mereka cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak, terutama makanan manis dan berlemak.

Selain faktor gaya hidup, masalah kesihatan tertentu juga boleh menyebabkan berat badan sukar turun.

Antara masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan kenaikan berat badan ialah gangguan hormon seperti hipotiroidisme dan sindrom ovari polisistik (PCOS).

Keadaan ini boleh mengganggu fungsi badan dalam membakar kalori dan mengawal lemak.

Sesetengah ubat-ubatan juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan sebagai kesan sampingan.

Oleh itu, individu yang mengalami kesukaran menurunkan berat badan walaupun sudah menjaga pemakanan disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada doktor.

Kesukaran menurunkan berat badan walaupun sudah berdiet boleh disebabkan pelbagai faktor seperti pengambilan kalori berlebihan, kurang bersenam, tidur tidak mencukupi, stres dan masalah kesihatan tertentu.

Menurunkan berat badan bukanlah proses yang mudah dan memerlukan disiplin serta kesabaran yang tinggi.

Seseorang tidak seharusnya hanya bergantung pada diet semata-mata, sebaliknya perlu mengamalkan gaya hidup sihat secara menyeluruh.

Dengan usaha yang konsisten dan cara yang betul, impian untuk mencapai berat badan ideal pasti dapat direalisasikan.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *