Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
INSIDEN kebakaran dan letupan gas yang semakin kerap dilaporkan kebelakangan ini, pasti menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Di sebalik api yang marak dan kepanikan di tempat kejadian, kecederaan melecur sebenarnya meninggalkan kesan lebih mendalam bukan sahaja pada kulit, malah fungsi tubuh, kesihatan mental dan kualiti hidup mangsa.
Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Pusat Perubatan Prince Court, Dr Evelyn Hoh Yoke Ling, berkata apabila seseorang melecur akibat kebakaran atau haba tinggi, kerosakan berlaku serta-merta pada kulit dan tisu di bawahnya.
Katanya, haba yang sangat tinggi boleh menyebabkan kecederaan daripada tahap ringan hingga ke tahap serius dengan membabitkan otot, saraf dan juga tulang.
“Dalam kes tertentu pesakit juga boleh mengalami kecederaan saluran pernafasan akibat penyedutan haba dan asap yang boleh mengancam nyawa,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, penilaian kecederaan melecur di hospital membabitkan dua perkara utama iaitu keluasan kawasan melecur dan kedalaman luka.
Katanya, tahap melecur pula terbahagi kepada tiga tahap utama.
Tahap pertama atau ‘superficial burn’ hanya membabitkan lapisan luar kulit (epidermis) menyebabkan kulit menjadi merah dan sakit tanpa lepuh.
Tahap kedua dikenali sebagai ‘partial thickness burn’ yang membabitkan epidermis serta sebahagian lapisan dermis dan pada tahap itu, luka biasanya berlepuh, merah dan sangat sakit.
“Tahap paling serius ialah ‘full thickness burn’ di mana keseluruhan lapisan kulit rosak selain luka kelihatan kering, keras dan berubah warna menjadi hitam, coklat atau putih.
“Untuk luka melecur yang sangat teruk, pesakit mungkin tidak berasa sakit kerana saraf pada kulit sudah rosak,” jelasnya.
Menurut Dr Evelyn, peratusan keluasan luka melecur sangat penting kerana ia menentukan tahap teruk dan keperluan rawatan lanjut.
Katanya, antara kaedah yang digunakan ialah ‘Rule of Nines’, ‘Palm Method’ dan paling terperinci, ‘Carta Lund dan Browder’ yang berbeza antara orang dewasa serta kanak-kanak.
“Dengan pengalaman dan bantuan carta, doktor boleh membuat anggaran peratusan kelecuran dengan lebih tepat,” katanya.
Justeru tegasnya, jika berlaku kes kecemasan, pertolongan cemas yang betul perlu dilakukan dengan segera.
“Langkah pertama ialah menghentikan punca kecederaan seperti memadam api, menjauhkan mangsa daripada sumber elektrik atau menanggalkan pakaian yang tercemar bahan kimia.
“Langkah seterusnya yang kritikal ialah membilas kawasan melecur dengan air paip mengalir, sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit.
“Ini bertujuan mengurangkan haba dan kerosakan tisu. Selepas itu, mangsa perlu segera dibawa ke klinik atau hospital,” katanya.
Namun katanya, kesilapan yang sering berlaku ialah penggunaan petua tradisional seperti menyapu ubat gigi, kicap atau minyak gamat.
Katanya, bahan-bahan itu tidak steril, boleh memerangkap haba, meningkatkan risiko jangkitan dan menyukarkan doktor menilai tahap sebenar kecederaan.
Mengenai rawatan, Dr Evelyn berkata, apabila pesakit tiba di hospital, keutamaan adalah memastikan pernafasan dan keadaan umum pesakit stabil.
Katanya, luka akan dibersihkan selepas pesakit diberikan ubat tahan sakit manakala untuk luka kebakaran yang teruk, pesakit akan menerima cecair intravena (IV).
“Bagi kes sederhana hingga teruk, pesakit akan dirujuk kepada Pakar Bedah Plastik atau dirawat di Unit Rawatan Kebakaran.
“Antara prosedur pembedahan yang biasa dilakukan termasuk pembuangan tisu mati (tangential excision), escharotomy dan pemindahan kulit (skin graft).
“Skin graft diperlukan apabila luka terlalu dalam dan tidak boleh sembuh sendiri. Kulit biasanya diambil daripada bahagian paha kerana mudah diambil dan parutnya kurang kelihatan,” katanya.
Beliau berkata, rawatan awal sangat penting bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang seperti parut tebal, jangkitan kronik, kecacatan pergerakan sendi serta masalah psikologi.
Bagi kanak-kanak pula katanya, kecederaan melecur yang serius boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anggota badan.
“Keputusan rawatan pada peringkat awal akan menentukan kualiti hidup pesakit untuk jangka panjang,” katanya.
Dr Evelyn berkata, sepanjang menjadi pakar dalam bidang itu, antara kes yang turut memberi kesan kepadanya adalah kejadian simbahan asid yang pernah berlaku secara rawak di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Katanya, dalam kejadian itu ramai mangsa mengalami kecederaan teruk pada muka dan ada yang kehilangan penglihatan secara kekal.
“Lebih menyedihkan, mereka mangsa yang tidak bersalah,” katanya.
Oleh itu sebagai langkah pencegahan kejadian tidak diingini, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan peralatan dapur dan saluran gas berada dalam keadaan baik serta tidak memasak tanpa pengawasan.
Katanya, jika terhidu bau gas, jangan nyalakan api atau suis elektrik, sebaliknya buka tingkap dan tutup punca gas.
Dr Evelyn turut menekankan kepentingan pendidikan awam melalui inisiatif seperti Malaysian Society of Burn Injury (MSBI).
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu aktif menjalankan kempen kesedaran seperti program di sekolah dan pusat beli-belah bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pencegahan dan rawatan kecederaan melecur.
Selain itu, NGO berkenaan turut menganjurkan persidangan dan bengkel untuk memberi pendidikan dan latihan kepada para profesional kesihatan dan petugas kesihatan.
“Walaupun kesedaran semakin meningkat, masih banyak yang perlu dilakukan.
“Tindakan pantas dan ilmu yang betul boleh menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kesan jangka panjang,” katanya.

