KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda bangga dapat menjadi duta kecil dalam mempromosikan budaya dan tradisi Melayu ke New York, Amerika Syarikat ketika ‘berkampung’ selama hampir dua bulan.
Nabila, 39, yang tampil berkebaya sepanjang rakaman program masakan, Masak Sana Sini New York membawa 30 pasang kebaya nyonya kerana mahu mempromosikan serta mengangkat budaya dan tradisi Melayu di mata dunia.
“Idea berkebaya tercetus dua hari lagi sebelum saya terbang ke New York untuk menjalani penggambaran program Masak Sana Sini New York terbitan RTM.
“Sebenarnya, sebelum itu penata gaya sudah menyediakan semua pakaian, tetapi saya terfikir pada saat akhir, kenapa hendak ke New York perlu jadi seperti mereka dan berpakaian ala kebaratan?
“Saya mahu bila menjejak kaki di Times Square New York, orang ramai terpaku melihat pakaian saya. Jadi, saya fikir apa yang saya suka pakai.
“Saya suka berkebaya dan ia boleh dikaitkan dengan lakonan saya dalam telefilem biografi Saloma.
“Jadi, saya beritahu pasukan mengapa tidak saya menggayakan baju kebaya sepanjang 26 episod. Lagipun, program ini untuk tayangan Ramadan, mengapa tidak bawa budaya dan tradisi ke negara orang.
“Sudah tentu bangsa asing suka melihat kelainan yang ditampilkan orang Asia,” katanya kepada BH Online.
Hasratnya berkenaan disambut baik apabila Nabila berjaya mendapat tajaan baju kebaya nyonya daripada butik tempatan.

Anak penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search itu berkata, dia juga membawa aksesori dan kasut untuk dipadankan dengan busana tradisional itu.
“Saya jumpa butik ini dan menghubungi mereka. Selepas menerangkan hasrat saya, butik bersetuju meminjamkan 30 pasang kebaya nyonya.
“Alhamdulillah, dapatlah saya bawa baju kebaya nyonya ke New York.
“Di New York, saya seperti duta kecil Malaysia. Orang asing sentiasa senyum melihat saya berpakaian kebaya nyonya, malah ramai memuji menyukai pakaian saya,” katanya.
Ulas lanjut, Nabila berkata, program masakan itu akan ditayangkan pada Ramadan tahun depan.
“Menerusi program ini, saya berjalan sekitar New York dan memperlihatkan kehidupan di sana. Kemudian, saya ke pasar dan menjamu tetamu berbuka puasa dengan masakan saya.
“Ramai jemputan pada program adalah rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di New York,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabila berkata, dia kini sedang berehat dan meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali sibuk ke lokasi penggambaran.
“Sekarang, saya sedang meluangkan masa dengan keluarga. Saya juga memasak untuk keluarga sepuasnya, kemudian baru kembali berlakon.
“Insya-Allah, saya sedang mempertimbangkan tawaran berlakon filem pada pertengahan Julai dan Ogos depan. Namun, semuanya masih dalam pertimbangan dan melihat kepada perancangan saya.
“Selain itu, filem baharu saya berjudul Rahsia akan menemui penonton di pawagam pada Ogos depan. Manakala, filem Telaga Suriram pula dijangka awal tahun depan,” katanya.
Kredit : Berita Harian