Punca Faisal Halim Digantung Oleh FAM
Tindakan pemain sensasi Selangor FC Muhammad Faisal Halim yang menyatakan rasa kecewa terhadap perlawanan menentang Sabah pada April lepas kepada media akhirnya membawa padah dan menjadi punca dia digantung, diibaratkan mengikut pepatah kerana mulut, badan binasa.
Seperti yang dilaporkan media, pada perlawanan aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 27 April lalu, Selangor tewas 1-2 dengan Sabah FC.
Tonggak Selangor FC itu ketika sesi temu ramah media merasakan pasukannya telah bekerja keras dalam mengumpul mata dan berharap perlawanan itu menjadi lebih adil.
Walaupun akur dengan keputusan yang ditetapkan namun bagi pemain berusia 25 tahun itu dia tetap kecewa dengan cara pasukannya kalah.
“Kami bekerja keras, kita berusaha. Saya terima kekalahan ini, tetapi bukan bermakna kami tidak bagus. Selangor sudah cuba yang terbaik, namun saya kecewa dengan cara kami kalah.
“Semua orang dah tahu setiap tahun perkara sama yang berulang. Saya sebagai pemain, kalau saya cakap ‘direct’, saya tidak ada duit untuk bayar denda atau sebagainya. Tetapi, saya merayu dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya memetik Sinar Harian.
Semasa kejadian, Sabah dilihat mengetuai perlawanan itu hasil daripada jaringan penalti Saddil Ramdani pada minit ke-24.
Tidak lama selepas itu, pada tujuh minit di separuh masa kedua Faisal melakukan sepakan dari luar kotak penalti sekali gus menyamakan kedudukan dua pasukan itu.
FAM umum penggantungan Faisal
Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Memetik Bernama, kenyataan yang dikeluarkan Mickey itu telah melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media).
Menerusi kenyataan itu, Mickey telah digantung sebulan terdahulu bermula 25 Julai sehingga 23 Ogos.
Penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguhkan, tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula 24 Ogos.
Disebabkan itu juga, pemain penting skuad Harimau Malaya tidak disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim FC.
Termasuk dengan Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC.
Kredit : Siakap Keli