Dapat sambutan hangat, konsert Ruffedge dianjak sejam

KUALA LUMPUR : Sambutan hangat lebih 4,500 peminat yang menyaksikan idola beraksi pada Ruffera That Moment In Time Live In Concert di sini, malam tadi, membuktikan kumpulan R&B dan hip hop, Ruffedge masih berbisa.

Ruffedge yang diasaskan pada 1998, ‘menggegar’ lokasi acara di Mega Star Arena, di sini dengan konsert yang sepatutnya berlangsung sejam setengah, dilanjutkan sejam lagi.

Peminat Ruffedge tidak berganjak selagi ahli kumpulan iaitu Cat, Azan, Mode, Sein dan Zain tidak menyanyikan dua lagu ‘killer’ iaitu Khayalan dan Bila Rindu.

Terbukti faktor usia tidak menghalang kepada kumpulan itu beraksi lincah.

Mungkin melihat sokongan padu peminat, biarpun Ruffedge pernah tidak aktif seketika, menaikkan semangat kumpulan itu, malam tadi.

Malah, Sein dalam ucapannya, mengakui tidak sangka dan amat terharu melihat sambutan dan sokongan peminat.

“Terima kasih kepada semua yang datang. Kami sebenarnya berbelah bahagi sama ada hendak teruskan konsert tahun ini atau tidak.

“Kami fikirkan banyak festival dan konsert dianjurkan tahun ini. Namun, melihat sambutan diberi, kami hanya mampu memanjatkan kesyukuran atas rezeki yang ditentukan Allah ini.

“Kami tidak akan berhenti di sini. Insya-Allah, tahun depan ada sesuatu yang istimewa sedang kami susun,” katanya.

Malam tadi, Ruffedge mendendangkan lebih 20 lagu. Selain Khayalan dan Bila Rindu, mereka menyanyikan lagu Tipah Tertipu, Da Bomb, Tiada Lagi Cinta, Hari Ini Dalam Sejarah, Belenggu, Matinya Sebahagian Jiwa, Belenggu, Ayu dan banyak lagi.

Malah, setiap anggota kumpulan itu menyanyikan lagu solo rentetan kejayaan pada Konsert Ruffera di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini, tahun lalu.

Selain Ruffedge kumpulan itu turut mengundang beberapa penyanyi lain antaranya DJ Uno, Distorted, Jboy, Zeppo dan tidak ketinggalan, Lah Ahmad.

Persembahan Ruffedge pada malam itu dipimpin pengarah muzik, Datuk Acis.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *