KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat, 32, meminta pandangan peminat berhubung sikap sesetengah orang sesuka hati memegang perut wanita mengandung tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu.
Pertanyaan itu diajukan Ayda yang kini sedang sarat mengandung bayi kedua dengan usia kandungan tujuh bulan menerusi hantaran di Instagram (IG).
“Mommies selesa tak kalau tengah mengandung, orang tiba-tiba pegang perut?” soal penyanyi lagu Pencuri Hati itu.
Ayda berkata, dia tidak kisah jika peminat yang ingin bergambar memegang bahu atau tangan.
Bagaimanapun, Ayda memohon maaf kerana menjadi lebih sensitif terutama sekiranya ada peminat meraba perutnya.
“Saya minta maaf, saya okay kalau nak selfie pegang bahu ke tangan, itu dah biasa.
“Tapi tengah mengandung sensitif lain sikit bila kakak atau makcik jumpa terus pegang serta raba perut kita.
“Nak tegur, tapi tak terkeluar pula. Faham kadang-kadang mereka teruja, tapi harap faham situasi saya.
“Terima kasih atas doa yang baik untuk saya dan baby, sudah memadai,” tulisnya.

Tambahnya, ada yang dengan selamba meletakkan tangan pada perut sambil menunggu bayinya menendang menyebabkan dia tidak tahu bagaimana hendak memberikan respon kepada tindakan berkenaan.
“Ada sambil pegang sambil cakap, acik kalau kuis camni je dulu baby dah tendang, jap tunggu anak Ayda tendang tak (sis muka dah petak).
“Korang rasa macam mana ya…..,” tulis Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat.
Hantaran dimuat naik pelakon yang mula dikenali menerusi drama Rindu Awak 200% mendapat pelbagai respon daripada peminat yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan sikap peminat yang keterlaluan seperti itu.
Ayda dijangka melahirkan cahaya mata lelaki pada Disember depan.
Ayda mendirikan rumah tangga bersama Nabil Mahir pada 1 Januari 2021. Pasangan itu dikurniakan melahirkan anak pertama, Ana Nayla, 2.