Dana pembangunan wanita masih kurang diberi tumpuan

KUALA LUMPUR: Populasi wanita di negara ini hampir 48 peratus, namun peruntukkan untuk pembangunan membabitkan golongan itu masih kurang diberi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2024 untuk bidang tertentu.

Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata pihaknya tetap berterima kasih dengan peningkatan elaun bagi penjagaan anak daripada RM2,400 kepada RM3,000, tetapi dari segi mendidik wanita berkenaan literasi kewangan atau keseimbangan hidup tidak diberi tumpuan.

“Kerajaan ingin tenaga buruh wanita dipertingkatkan, tetapi persediaan ke arah itu tidak disentuh.

Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030, juga tiada dana khas ke arah persediaan pengurusan warga emas.

“Semoga selepas ini suara wanita dapat dibawa agar lebih memberi penambahbaikan pada masa depan terutama dalam membela nasib wanita yang sering dianggap sebagai kelas kedua dalam banyak perkara,” katanya.

Kakitangan swasta, Rozidah Ahmad Sobri, 45, berkata beliau agak lega apabila sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan.

Peniaga, Suhaila Abdul Samad, 38, berkata sebagai peniaga kecil-kecilan bersyukur memberi peruntukan dan pembiayaan khas kepada PMKS sepertinya.

Malah, kerajaan turut menyediakan kemudahan pinjaman dan pembiayaan khas kepada golongan wanita.

“Ini satu berita ditunggu peniaga terutama wanita sedang membina kerjaya dalam bidang keusahawanan dapat mengembangkan perniagaan sekali gus berikan peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang,” katanya

 

Kredit : Berita Harian

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *