KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tidak bercadang untuk berehat panjang, sebaliknya akan segera kembali ke gelanggang bagi mempersiapkan diri menghadapi saingan musim depan.
Pemain ranking ke-14 dunia itu, berkata selepas banyak masa dihabiskan bagi menyertai kejohanan musim ini, kini tiba masanya untuk dia kembali fokus terhadap sesi latihan memperbaiki segala kelemahannya.
“Saya hanya akan berehat sekejap bagi membolehkan saya mempunyai banyak masa untuk menjalani latihan. Latihan adalah sangat penting untuk saya, tahun ini saya banyak menyertai kejohanan dan tidak ada banyak masa untuk berlatih.
“Kami mempunyai lima minggu untuk berlatih (sebelum memulakan musim baharu). Minggu awal latihan, saya akan fokus untuk meningkatkan tahap kecergasan. Selepas itu memberi tumpuan kepada kejohanan pertama Terbuka Malaysia.
“Saya harap untuk saingan Terbuka Malaysia, saya mampu untuk memperbaiki keputusan tahun ini di mana saya terkandas di pusingan kedua,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Semalam, Tze Yong menutup tirai saingan musim ini dengan kekalahan di pusingan pertama Masters China selepas tewas di tangan rakan senegara, Lee Zii Jia.
Secara keseluruhan bagi saingan musim ini, Tze Yong mempamerkan peningkatan prestasi yang positif apabila dia yang memulakan musim ini dengan kedudukan ke-28 dunia, berjaya melayakkan diri ke suku akhir sebanyak tujuh kali, dua kali mara ke separuh akhir dan sekali muncul naib juara di Terbuka Artik di Vantaa, Finland.
“Secara keseluruhannya untuk tahun ini, pencapaian saya agak baik.
“Namun, masih belum capai sasaran kerana fokus utama adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Tahun depan saya juga harus mengekalkan kedudukan ranking,” katanya.
Kredit : Berita Harian