RIYADH: Juara empat kali Al-Hilal menamatkan kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia tanpa kalah selepas menang 2-1 di laman sendiri ke atas kelab Iran, Nassaji Mazandaran awal pagi tadi.
Kelab Arab Saudi itu yang muncul naib juara tahun lalu, layak ke pusingan 16 terakhir sebagai juara Kumpulan D, membolehkan pengurus Jorge Jesus memulakan penyerang Aleksandar Mitrovic dan pemain tengah Sergej Milinkovic-Savic di bangku simpanan.
Ruben Neves, seorang lagi pembelian musim panas, tidak berada dalam skuad, begitu juga bintang Brazil, Neymar yang berehat hampir sepanjang musim selepas mengalami kecederaan lutut yang serius ketika tugasan antarabangsa dua bulan lalu.
Bagaimanapun Al-Hilal hanya memerlukan empat minit untuk mendahului menentang Nassaji Mazandaran di Stadium Putera Faisal bin Fahd apabila pemain sayap Michael menyudahkan hantaran lintang leret Mohammed Al-Breik.
Al-Hilal, yang mengeluarkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou ketika rehat, menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-54 susulan satu tendangan separa voli Pemain Terbaik Tahunan Asia, Salem Al-Dawsari.

Mitrovic dan Milinkovic-Savic dimasukkan selepas sejam, sekalipun ia tidak mampu menghalang Nassaji Mazandaran membalas satu gol 13 minit sebelum tamat.
Mahmoud Ghaed Rahmati mengurangkan defisit itu dengan satu sepakan voli kencang selepas pertahanan Al-Hilal, Kalidou Koulibaly gagal mengeluarkan bola dengan baik dari kawasan bahaya.
Dalam satu lagi aksi kumpulan itu, Navbahor dari Uzbekistan memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir selepas menang 2-1 ke atas Mumbai City di Pune.
Satu lagi kelab Arab Saudi, Al-Ittihad menamatkan saingan Kumpulan C dengan kemenangan 2-1 menentang Sepahan dari Iran di Makkah.
Bekas pemain sayap Celtic, Jota meraih gol kemenangan buat kelab juara Saudi itu, yang menyambut kepulangan semula pemain antarabangsa Mesir, Ahmed Hagazy susulan kecederaan jangka panjang. – AFP
Kredit : Berita Harian