Sufian sudah ‘lali’ diasak soal jodoh ketika beraya

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi kebiasaan buat penyanyi Sufian Suhaimi pulang ke kampung halaman di Muar, Johor seminggu lebih awal untuk meraikan 1 Syawal.

Sufian berkata, tugas yang menanti adalah membantu ibunya mengemas rumah termasuk memasang langsir dan itu bagaikan satu rutin buatnya setiap kali Aidilfitri menjelma.

“Macam biasa, saya akan beraya di Muar bersama keluarga. Saya akan pulang seminggu lebih awal untuk tolong kemas rumah termasuk pasang langsir.

“Saya cuma ada tiga beradik, kakak kerja, manakala adik saya masih lagi belajar. Mereka akan pulang ke kampung lewat sikit.

“Jadi, saya kenalah bantu keluarga kemas apa yang patut. Walaupun sudah jadi artis, tapi saya tiada masalah nak buat kerja rumah termasuk pasang langsir (ketawa),” cerita jejaka berusia 32 tahun ini.

Tambahnya, selain mengemas, dia juga turut membantu ibunya membuat persiapan di dapur menyediakan juadah istimewa sekeluarga iaitu Laksa Johor.

“Laksa Johor adalah menu istimewa yang wajib ada, ia juga menjadi makanan kegemaran saya. Bahan-bahan nak masak Laksa Johor memang renyah untuk disediakan.

“Jadi, saya kenalah juga bantu emak menyediakannya,” ujar penyanyi Di Matamu ini.

Dalam pada itu, Sufian memberitahu, sambutan Hari Lebaran tahun ini agak berbeza buatnya sekeluarga kerana keadaan kesihatan ayahnya yang kurang memuaskan.

“Biasanya hari raya pertama, kami akan pulang ke kampung sebelah ayah di Segamat untuk beraya dengan saudara-mara.

“Tapi, rutin itu tidak dapat dilakukan tahun ini kerana ayah tidak begitu sihat. Jadi, keluarga akan datang beraya di Muar.

“Kiranya tahun ini rumah kami akan jadi tempat saudara-mara berkumpul,” kata Sufian lagi.

Diusik pertanyaan apakah reaksinya jika ditanya mengenai soal jodoh oleh saudara-mara, Sufian berkata, dia tidak pernah berkecil hati dan anggap sebagai topik biasa untuk memulakan perbualan.

“Kalau ada yang tanya bila saya nak kahwin, selalunya saya akan jawab lepas raya (ketawa). Saya tak kisah pun kalau ada soalan cepumas ini.

“Tak pernah anggap soalan ini sensitif dan tidak terasa hati. Sebaliknya saya ia topik biasa ketika bersembang,” ungkapnya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *