Sentiasa beri kemaafan ‘terapi’ damaikan jiwa

KONFLIK perhubungan sesama manusia ada kalanya berpanjangan sehingga boleh menimbulkan gangguan emosi kepada sesetengah individu. Hal ini disebabkan terdapat sebahagian orang beranggapan memberi kemaafan adalah tidak wajar selagi individu yang membuatkan dia berkecil hati tidak meminta maaf terlebih dahulu.

Bagaimanapun hal ini membuatkan individu terbabit terbeban dengan perasaan menunggu kemaafan yang membuatkannya terganggu dengan pelbagai perasaan, malah boleh membawa ke tahap berdendam.

Dalam psikologi, memberi kemaafan ini bukan bermakna individu itu sudah melupakan kesalahan si pelaku terhadapnya atau kesakitan emosinya tidak penting, sebaliknya bertujuan memberikan ketenangan dan kesejahteraan mental dalam diri individu itu sendiri.

Umumnya apabila disakiti oleh orang yang kita sayangi, percaya dan akrab, rasa marah serta sedih lebih besar. Dendam yang berakar umbi sehingga kebencian sebenarnya akan menyakitkan diri individu itu lagi. Mereka lebih mudah menyimpan dendam kerana tanpa sedar sudah membenarkan emosi negatif menguasai diri.

Justeru, mereka sukar maju kerana terperangkap dengan kemarahan dan memfokus insiden kesalahan, sekali gus sukar untuk menikmati pengalaman baharu.

Kesan menyimpan dendam berpanjangan ini boleh membawa kepada ketidaksejahteraan mental dan emosi sehingga individu ini boleh menjadi mudah tertekan, marah dan cemas. Malah hubungan yang baik lagi berharga dengan rakan sekerja juga ahli keluarga turut terjejas. Mereka juga akan berkonflik dengan diri sendiri yang menimbulkan kegusaran.

Memaafkan sebenarnya juga adalah komitmen untuk maju. Jadi dalam membuat keputusan ini, seseorang perlu menilai semula untung dan rugi menyimpan dendam atau memaafkan sahaja mereka yang berbuat salah.

Belajar urus perasaan

Dalam proses ini, terapi kaunseling boleh membantu bagi memahami perasaan marah, sedih, keliru, dendam dan kesakitan emosi lain. Menerusi kaunseling semua perasaan itu akan diselenggara secara baik dan perlahan dengan penuh hormat serta selamat.

Empati juga antara aspek penting iaitu individu perlu melatih diri melihat situasi dari sudut pandangan orang lain.

Seandainya beliau berada di tempat si pelaku, ada kemungkinan kita juga melakukan perkara yang sama. Sebenarnya perasaan dimaafkan amat membantu memberikan kelegaan kepada dirinya yang sukar memaafkan.

Menulis jurnal, terus berdoa dan berehat adalah antara bentuk aktiviti luahan tenaga emosi sukar ini yang banyak membantu diri. Ia perlu dilakukan secara konsisten dan diamalkan secara berterusan.

Andainya, orang yang sudah kita maafkan tidak berubah, perlu diingati bahawa mengubah orang bukan tugas atau tanggungjawab kita. Tujuan memaafkan adalah untuk meningkatkan kawalan dalam diri serta rahmah kepada diri sendiri, demi memperoleh kedamaian, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup kita.

Harga ketenangan amat mahal apabila anda sudah tidak berasa tenang dan bahagia lagi untuk bertahun-tahun.

Justeru, memaafkan adalah keputusan bijak yang akan membantu diri anda lebih tenang.

Memaafkan adalah harga yang perlu anda bayar untuk ketenangan diri sendiri, ia juga bermaksud si pelaku tidak berkuasa untuk mengawal diri anda lagi. Memaafkan adalah satu proses latihan diri berterusan dan tidak mustahil.

Maznah Ibrahim, Kaunselor Hospital Putrajaya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *