Penangan Leona nyanyi ‘pelat’, lagu Ketipak Ketipung Raya makin tular

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aisha Retno tidak melenting dengan pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona yang keliru dengan lirik lagu Ketipak Ketipung Raya dendangannya bersama Aziz Harun sehingga menukar perkataan ‘sayang’ menjadi ‘bawang’.

Katanya, tindakan menyanyikan semula lagu Ketipak Ketipung Raya dengan menggunakan perkataan bawang bukanlah bertujuan membidas gadis itu, sebaliknya sekadar ingin mengusik.

Aisha berkata, dia berterima kasih kepada anak kepada pelakon senior, Azhar Sulaiman itu kerana tontonan lagu melonjak dalam YouTube, platform penstriman dan TikTok disebabkan pengaruh besar Leona.

“Mungkin netizen menyangka saya melenting apabila saya seolah-olah membidas Leona dengan menyanyikan semula lagu Ketipak Ketipung Raya menggunakan perkataan bawang.

“Saya tak marah, sebaliknya sangat berterima kasih kepada Leona. Ini kerana video seolah-olah saya membidasnya mencecah 7 juta tontonan dalam Tik Tok dalam masa sehari.

“Tontonan muzik video di YouTube juga melonjak daripada 3 juta menjadi hampir 4 juta. Bagi saya, kesilapan yang dibuat Leona sesuatu yang comel dan tidak dibuat-buat,” katanya kepada BH Online.

Tidak hanya berterima kasih, Aisha dan Aziz berbesar hati apabila seseorang pempengaruh media sosial popular yang sedang mengikuti pengajian di luar negara boleh menyedari kewujudan lagu Ketipak Ketipung Raya.

“Bagi seseorang yang menetap di luar negara, tapi boleh tahu lagu Ketipak Ketipung Raya adalah sesuatu yang cukup membanggakan.

“Saya dan Aziz tak mengikuti Leona dalam media sosial, tapi kami tahu betapa popular anak pelakon popular itu. Sekarang, kami sudah pun mengikutnya.

“Siapa tahu mungkin kami boleh keluarkan single baharu dengan menggunakan perkataan ‘bawang’ bagi mengekalkan populariti,” kata Aisha.

Selain Leona, Aisha berbangga lagu Ketipak Ketipung Raya hasil sentuhannya bersama Aziz turut mendapat perhatian artis popular Indonesia seperti Dian Sastrowardoyo dan Luna Maya yang memilih lagu berkenaan sebagai lagu latar hantaran dalam Instagram.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *