KUALA LUMPUR: Penantian pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk merangkul kejuaraan sulung di laman sendiri berlarutan.
Ini selepas Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dalam pertarungan tiga set pada aksi final Masters Malaysia, sebentar tadi.
Pada aksi di Axiata Arena itu, Zii Jia seolah-olah ‘dipukau’ dengan kehebatan Axelsen apabila tewas mudah 6-21 di set pertama.
Bagaimanapun, Zii Jia mencetuskan kebangkitan di set kedua menerusi pertarungan dengan aksi lebih bertenaga untuk menang 22-20 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Aksi set penentuan bagaimanapun sekali lagi menyaksikan dominasi Axelsen biarpun Zii Jia cuba memberi tentangan pada awal permainan dengan jaguh Denmark itu keluar selaku pemenang menerusi kemenangan 21-13.
Keputusan itu memanjangkan lagi kemarau Malaysia untuk menjuarai acara perseorangan lelaki di Masters Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2016.
Ia juga menyaksikan Zii Jia gagal dalam misi untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand, Ahad lalu.

Susulan kemenangan pada aksi final hari ini, Axelsen berjaya merangkul gelaran sulungnya musim ini dan yang kedua di Masters Malaysia selepas turut menjuarai edisi 2018.
Selaku juara, Axelsen membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$31,500 (RM148,191) manakala Zii Jia yang terpaksa berpuas hati dengan naib juara AS$15,960 (RM75,083)
Kredit : Berita Harian