KUALA LUMPUR: Kejutan dibuat pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof, 40, yang memfailkan perceraian terhadap isteri, Ira Kazar, semalam, menjadi perhatian netizen dalam media sosial dengan pelbagai komen.
Tidak hanya itu, ada segelintir netizen sanggup ‘singgah’ di Instagram (IG) Ira bagi meninggalkan komen simpati dan terkejut mereka dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba itu.
Kelmarin, Ira yang memuat naik hantaran beberapa foto terbaharu bersama seekor kuda, nampaknya banyak menerima komen daripada netizen yang memberi kata-kata semangat agar terus kuat dan tabah menghadapi ujian kehidupan.
Bagaimanapun, ramai di kalangan netizen yang meninggalkan komen bertanya, apakah betul dakwaan Syamsul sudah memfailkan cerai terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
“Dah tak pakai cincin kahwin,” komen seorang netizen.
“Berita hari ni itu betul ke? Ke ‘fake news’ (berita palsu),” tulis seorang lagi wargamaya.
“Begitu la.. Masa buat orang ‘lupa’…,” komen seorang pengguna media sosial.
“Sah ke Syamsul fail cerai? Saya datang ke sini selepas baca berita,” komen warganet.
Sementara itu, peguam Syarie yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Rais mengesahkan anak guamnya itu memfailkan cerai terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, pada jam 2 petang semalam.
Menurutnya, perceraian itu difailkan Syamsul atas alasan sudah tiada persefaham untuk terus hidup bersama dengan isterinya itu.
Sebelum ini, Syamsul dan Ira atau nama sebenar, Faghirah Fatini Kazaruddin yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi, bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.
Berita pernikahan mereka di negara jiran berkenaan disahkan Syamsul sendiri menerusi sebuah hantaran video yang dimuatnaik di akaun IG miliknya pada Januari tahun lalu.
Rentetan itu, pelakon Puteri Sarah, 39, yang juga isteri pertama Syamsul ketika itu nekad memfailkan perceraian dan mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 14 Jun tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup selama sembilan tahun Syamsul dan Puteri Sarah yang bernikah pada Mac ,2014, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.
Kredit : Berita Harian