Elak retina koyak

“SAYA terkejut, selepas pemeriksaan mata yang dijalankan, pihak optometris mengesahkan anak disahkan mengalami rabun jauh,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Rohayati, 39, ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, semuanya terjadi secara tidak sengaja apabila anak sulungnya yang berusia 10 tahun tidak dapat membaca papan tanda sebuah restoran pada jarak 50 meter.

Katanya, dia mula bimbang selepas anak lelakinya berulang kali mengatakan tidak dapat melihat dengan jelas perkataan tertera pada papan tanda itu.

“Tidak lama selepas itu saya bawa anak melakukan pemeriksaan di kedai cermin mata berdekatan dan disahkan alami rabun jauh.

“Saya tidak pasti sejak bila anak mengalami masalah itu (rabun jauh) kerana tidak menunjukkan gejala rabun jauh.

“Mujurlah masalah itu disedari lebih awal sebelum menjadi lebih serius yang pasti boleh mengganggu pelajarannya di sekolah,” katanya.

Pakar Perunding Oftalmologi Jabatan Oftalmologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Nurliza Khaliddin berkata, masalah mata biasa dialami kanak-kanak adalah rabun jauh atau miopia iaitu tidak dapat melihat objek yang jauh dengan jelas.

“Kanak-kanak mengalami miopia memiliki bentuk kornea terlalu melengkung atau bola mata terlalu panjang.

“Ini menyebabkan objek kelihatan kabur berikutan cahaya masuk difokuskan ke bahagian depan retina,” katanya.

Beliau berkata, ada banyak faktor yang mendorong miopia dalam kalangan kanak-kanak termasuk faktor genetik dan tabiat tidak sihat untuk kesihatan mata.

“Ibu bapa yang mengalami rabun jauh akan meningkatkan risiko anak berdepan masalah sama.

“Pada masa sama, pendedahan terhadap skrin gajet terlalu lama, kurang melakukan aktiviti luar dan tabiat membaca tidak betul turut menyumbang kepada peningkatan kes miopia,” katanya.

Menurutnya, individu yang mengalami miopia akan menyebabkan masalah mata lebih serius di kemudian hari.

“Apabila melihat objek dekat terlalu lama, otot mata bekerja berpanjangan sehingga memberi stimulasi pada bola mata untuk menjadi lebih panjang.

“Ini mengakibatkan rabun jauh menjadi lebih teruk dan retina akan menjadi nipis. Retina yang nipis mempunyai risiko koyak dan menyebabkan buta.

“Selain itu, seseorang itu boleh mengalami masalah mata malas berikutan pandangannya yang tidak jelas seperti individu normal lain,” katanya.

Biarpun memakai cermin mata, Dr Nurliza berkata, bola mata boleh memanjang jika seseorang itu tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk membantu merehatkan otot mata.

“Antara perkara yang boleh diamalkan adalah melakukan aktiviti di luar sekurang-kurang sejam setiap hari untuk melihat objek pada jarak sejauh enam meter.

“Selain itu, elak membaca dengan jarak terlalu dekat dan gelap untuk mengelak otot mata bekerja lebih.

“Anda juga boleh lakukan peraturan 20, 20, 20, iaitu setiap 20 minit anda berhenti 20 saat daripada melakukan sebarang pekerjaan untuk melihat objek sejauh 20 kaki (enam meter) supaya otot mata dapat berehat sebentar,” katanya.

Mengulas lanjut, dalam hal ini masih ramai dalam kalangan ibu bapa di negara ini tidak menyedari anak mereka mengalami miopia sejak daripada kecil.

“Keadaan ini bukan sahaja boleh menyebabkan masalah mata menjadi lebih serius, malah pelajaran anakdi dalam kelas boleh terganggu kerana tidak dapat melihat dengan jelas.

“Lebih memburukkan keadaan, perkembangan kanak-kanak boleh terjejas berikutan masalah miopia yang tidak disedari daripada awal,” katanya.

Justeru, itu, beliau menyarankan ibu bapa supaya lebih cakna terhadap kesihatan mata anak-anak sejak daripada kecil.

“Ibu bapa perlu sentiasa bertanya anak bagaimana keadaan penglihatan ketika belajar di dalam kelas. Selain itu, jika ibu bapa memakai cermin mata, bawa anak untuk menjalani pemeriksaan awal kerana risiko mereka (anak) untuk mengalami miopia sangat tinggi.

“Pada masa sama, sentiasa perhatikan keadaan anak yang perlu ‘menyengetkan’ kepala ke kiri atau ke kanan apabila mereka fokus melihat sesuatu objek kerana kemungkinan besar anak mengalami miopia,” katanya.

Kredit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *