‘Tak pernah bermimpi bergelar Datuk’

KUALA LUMPUR: Aktor berpengalaman, Datuk Remy Ishak tidak pernah termimpi akan menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, kelmarin.

Pelakon kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu menganggap pengorbanannya dalam bidang seni selama lebih 20 tahun berbaloi selepas diiktiraf kerajaan Melaka.

Remy berkata, ini juga adalah antara pencapaian terbesar bukan sahaja dalam kehidupan tetapi kerjaya seni.

“Saya dimaklumkan penganugerahan disebabkan pencapaian dalam industri seni. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Tun Dr Mohd Ali dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas penganugerahan ini.

“Tidak lupa kepada isteri tercinta, Datin Ezza Yusof dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan serta memahami kerjaya saya selama ini.

“Saya tak pernah bermimpi terima anugerah sebesar ini, ia suatu yang sangat berharga buat saya,” katanya ketika ditemui BH Online selepas menerima anugerah berkenaan.

Pelakon filem Sangkar itu juga menganggap penganugerahan darjah kebesaran berkenaan sedikit pun tidak mengubah sikap dan penampilan dirinya.

Sebaliknya, Remy berkata, dia tidak mahu orang menganggap dirinya sebagai seorang yang tinggi diri, apatah lagi selepas bergelar Datuk.

“Saya tetap Remy Ishak sama seperti dahulu kerana darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk ini sebenarnya tidak lebih kepada usaha menghargai jasa dan pengorbanan penggiat seni di negara ini.

“Saya menghormati penganugerahan ini, secara tidak langsung memberikan satu suntikan baharu untuk menjadi lebih berjaya dalam bidang seni pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pada istiadat yang diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri itu juga menyaksikan pelakon, Ashraf Muslim dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji (BKT) daripada Yang di-Pertua Negeri.

Ashraf atau nama sebenarnya, Mohd Ashraf Muslim yang juga anak kelahiran Telok Mas, Melaka itu berterima atas penganugerahan berkenaan.

Pelakon drama Kemboja Di Hati itu berkata, penganugerahan diterimanya itu amat bermakna sebagai anak seni.

“Bintang kebesaran ini besar maknanya dan ini antara penghormatan kepada anak seni.

“Pada masa sama, ia juga menjadi antara pemangkin khususnya kepada anak seni untuk terus bergiat aktif berkarya,” kata Ashraf.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *