KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia kini menghuni ranking keempat dunia, menurut ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan badminton Dunia (BWF) hari ini.
Kedudukan terbaharu itu menyaksikan pemain berusia 26 tahun dari Alor Setar, Kedah itu naik dua anak tangga daripada kedudukan keenam diduduki sebelum ini.
Zii Jia sebelum ini memenangi perlawanan penentuan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11.
Dia kemudian meneruskan perjuangan di Terbuka Jepun minggu lalu namun tidak berupaya mengekalkan momentum Paris 2024 apabila tersingkir seawal pusingan pertama di tangan pemain Perancis di ranking ke-20 dunia, Alex Lanier, 18-21, 13-21.
Gandingan gangsa di Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula kekal di ranking ketiga dunia manakala beregu juara Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut kekal di kedudukan ke-12 dunia.
Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah pula naik satu anak tangga apabila menduduki ranking kesembilan dunia manakala beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal di kedudukan kesembilan.