KUALA LUMPUR: Senarai 10 Calon ABPBH 36 Terpaling Wow! bertujuan menghangatkan lagi proses pengundian Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 bukanlah senarai akhir.
Pengarang Berita Kanan Hiburan/Projek BH merangkap Pengarah ABPBH 36, Shamshul Azree Samshir, berkata senarai 10 calon terbabit bukan finalis atau pesaing yang sudah dikira berjaya memasuki fasa akhir pengundian.
“Senarai 10 Calon ABPBH 36 Terpaling Wow! membolehkan peminat tahu kedudukan artis masing-masing dan berusaha meningkatkan undian.
“Apa yang dikongsi bukanlah senarai akhir, sebaliknya, diberi sebagai panduan,” katanya kepada BH Online.
Shamshul Azree berkata, pengalaman lalu menyaksikan peminat lebih cenderung meningkatkan undian menjelang hari terakhir, lantas, menyebabkan kedudukan artis dalam kelompok tertinggi, berubah.
“Kali ini, ABPBH 36 hanya membuka proses undian sekali. Ini bermakna peminat perlu merujuk kepada senarai Top 20 dan memulakan usaha untuk mengundi artis kesayangan hingga tarikh akhir,” katanya.
Undian Top 20 ABPBH 36 yang diinspirasikan oleh penaja utama, CONBOO, berakhir pada jam 11.59 malam 30 September.
Bagi merancakkan proses undian memilih juara dalam 16 kategori utama persaingan calon Top 20, penganjur ABPBH 36 mengumumkan artis yang memperoleh undian tertinggi dalam kategori berbeza setiap hari melalui akaun media sosial Berita Harian (BH) dan semua platform digital Media Prima Berhad (MPB), baru-baru ini.
Langkah yang kali pertama diperkenalkan dalam penganjuran ABPBH bertujuan menghangatkan proses undian, selain memberi panduan kepada peminat kedudukan artis pujaan sejak undian dibuka pada hari pelancaran ABPBH 36 pada 22 Ogos lalu.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, edisi ke-36 ABPBH mengangkat tema Teguh yang membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tema Teguh melambangkan keampuhan acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, selain mengajak pencinta industri kreatif tempatan meraikan keunikan, kepelbagaian dan kehebatan bakat serta karya tempatan.
Ini selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka yang melambangkan kesepaduan secara holistik negara yang maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati diri.
Sesuai dengan semangat kemerdekaan, tema Teguh mahu merapatkan jurang perbezaan dan menumpukan usaha meningkatkan potensi diri semua insan agar terus utuh dan mantap berdepan cabaran era globalisasi.
Kredit : Berita Harian