KUALA LUMPUR: Pengarah sensasi, Syamsul Yusof akhirnya pulang ke pangkuan keluarga selepas hampir dua tahun tidak berjumpa.
Menerusi hantaran berbentuk foto dimuat naik ibunya, Datin Patimah Ismail dalam Instagram Story (IGs), malam tadi, pertemuan penuh bermakna itu turut disertai suaminya, Datuk Yusof Haslam dan adiknya, Syafiq Yusof.
Turut bersama, bekas menantu, Puteri Sarah Liyana dan cucunya, Sumayyah.
Menerusi perkongsian itu, Syamsul mengenakan baju dan seluar rona hitam turut dilihat memeluk erat kedua-dua orang tuanya itu.
Pemilihan lagu Syukran Lillah nyanyian Sabyan yang liriknya meluahkan rasa rasa syukur seakan menterjemahkan perasaan Patimah terhadap momen jejak kasih itu.
“Segala puji bagi Allah. Semoga Allah permudahkan segala-galanya,” kata Patimah secara ringkas ketika membalas mesej BH Online.

Sementara itu, Yusof pula meluahkan perasaan syukur dengan kembalinya anak yang dirindui ke pangkuan keluarga.
“Alhamdulillah, Syamsul sudah pulang ke pangkuan keluarga. Kami makan malam bersama, malam tadi.
“Syafiq pun ada sekali menyambut kepulangan abangnya. Inilah doa saya dan isteri yang dimakbulkan Allah.
“Kami tak pernah putus berdoa buat Syamsul selama ini,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Terdahulu, Syamsul dikatakan sudah lama tidak pulang ke rumah ibu bapanya selepas mendirikan rumah tangga dengan Ira Kazar.
Pada 5 September lalu, Syamsul menceraikan Ira dengan talak satu selepas 21 bulan berkahwin.
Kredit : Berita Harian