Pearly-Thinaah lepasi ujian pertama Masters China

KUALA LUMPUR: Pearly Tan-M Thinaah mengetepikan ‘mimpi ngeri’ di Masters Kumamoto, minggu lalu apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Masters China yang berlangsung di Shenzhen, hari ini.

Pada aksi di Gimnasium Shenzhen itu, beregu nombor enam dunia itu menyingkirkan pasangan tuan rumah yang baru digandingkan, Ding Ke Yun-Wang Yi Duo menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-14.

Memerlukan tempoh 39 minit sebelum mengesahkan kemenangan, Thinaah begitupun mengakui tidak begitu berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan pada aksi awal kejohanan berstatus Super 750 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu.

“Ada beberapa perkara yang kami perlu lihat kembali dan perbaiki yang mana kami rasakan pada awal permainan, kami melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya,” kata Thinaah.

“Tetapi kami berjaya mengingatkan satu sama lain untuk kekal tenang dan menikmati permainan kami. Kami tidak mahu berfikir terlalu jauh dan cuba fokus kepada perlawanan esok dan berikan permainan 100 peratus.”

Pasangan beregu wanita utama negara itu sebelum ini dipalit kekecewaan selepas tersingkir seawal pusingan pertama Masters Kumamoto di Jepun kepada wakil tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *