MALAYSIA hanya melupuskan 1 peratus sisa elektronik atau e-sisa tempatan secara lestari, sekali gus amat rendah berbanding dengan kadar kitar semula keseluruhan, iaitu sekitar 35 peratus.
Angka ini tentu mengecewakan apatah lagi di peringkat global, jumlah isipadu e-sisa dijangka meningkat daripada 34 juta tan pada 2010 kepada 82 juta tan (2030).
Kemajuan teknologi dan penggunaan gajet bakal meningkatkan penggunaan bahan elektronik, malah ia diburukkan lagi dengan pengurangan jangka hayat peranti elektronik serta peningkatan pengeluaran pelbagai jenis peranti terkini.
Kadar kitar semula e-sisa rendah akan menyebabkan lambakan sisa elektronik lazimnya berakhir di tapak pelupusan sampah.
Pihak berkuasa sebenarnya sudah melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk mewujudkan lebih 300 tempat pengumpulan dan kemudahan perolehan di seluruh negara.
Peluasan tanggungjawab pengeluar (EPR) juga mula diperkenalkan bagi memastikan syarikat memikirkan kaedah menguruskan sisa produk apabila berada di akhir hayat.
ada 2022, hanya tiga negara dalam Kesatuan Eropah (EU), iaitu Bulgaria, Latvia dan Slovakia mencapai sasaran 65 peratus kadar pungutan e-sisa ditetapkan.
Di Jerman, kadar pungutan dilaporkan di bawah sasaran 45 peratus, meskipun sistem pengurusan e-sisa dilaksanakan. Ini menunjukkan, selain sistem pengurusan mantap, kesedaran pengguna menjadi kunci peningkatan kadar kitar semula.
Justeru, strategi baharu perlu ditekankan ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat supaya memahami ciri kompleks dan nilai tinggi e-sisa berbanding sisa boleh kitar semula lain seperti kertas, plastik dan aluminium.
E-sisa meliputi semua jenis barang berunsurkan elektronik, bukan hanya gajet seperti telefon bimbit. Ramai tidak menyedari e-sisa turut membabitkan barangan elektronik seperti kipas, peti sejuk, radio dan televisyen.
Tidak hairanlah, pelupusan barangan ini tidak diuruskan dengan kaedah sepatutnya, apatah lagi rata-rata pengguna tidak memahami kitar hayat suatu barangan elektronik, terutama bagaimana pengurusan sisa dilaksanakan dan apakah impak setiap tahap hayat produk kepada alam sekitar.
Kurang kesedaran keperluan kitar semula e-sisa
Dari segi populariti, masyarakat umumnya tidak mengetahui keperluan kitar semula e-sisa atau kemudahan pengumpulan e-sisa disediakan. Akibatnya, ramai lebih memilih untuk menyimpan peranti sudah tamat hayat dalam koleksi sendiri selama mungkin.
Apa membimbangkan, sebahagian melupuskan e-sisa melalui tong sampah biasa bersama sisa pepejal lain.
Pengakhiran e-sisa di tapak pelupusan sampah boleh mengundang ancaman kepada persekitaran dan kesihatan manusia. Berbeza dengan plastik, e-sisa terdedah boleh mengalirkan kandungan bahan berbahaya dan larut resap ke dalam tanah serta sistem pengairan.
Contohnya, bahan arsenik terkandung dalam semikonduktor dan diod boleh memberi kesan kepada sistem saraf serta kulit. Dioxin dalam kabel pula meningkatkan risiko untuk kanser. Logam berat dan bahan kalis api dalam e-sisa juga boleh membahayakan sumber air bawah tanah atau kawasan tanaman.
Malah, masyarakat tidak mengetahui bahan bernilai terkandung dalam e-sisa, contohnya emas. Sesetengah bahan dalam e-sisa mempunyai tenaga terkandung tinggi.
Maka, penggunaan bahan ini boleh membawa kepada nilai jejak karbon tinggi. Dengan kitar semula, nilai jejak karbon ini dapat dikurangkan, sekali gus dapat menyokong hasrat mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Oleh itu, masyarakat di negara ini perlu didedahkan dengan kisah kejayaan penggunaan semula e-sisa. Antaranya penghasilan medal pemenang untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Menerusi projek ini, lebih 78,000 tan e-sisa dikumpulkan dan hampir 32 kilogram emas berjaya diperoleh. Kisah kejayaan sebegini akan lebih mudah memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai potensi bahan dalam e-sisa dalam penghasilan produk baharu.
Kredit: Berita Harian