Terbuka Malaysia: DinFei turut tersingkir awal

Kuala Lumpur: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi wakil kelima negara yang kecundang di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.

Juara Terbuka China itu tewas kepada wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 15-21, 21-9, 21-18 selepas beraksi selama 52 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selepas menang mudah di set kedua, Sze Fei-Izzuddin memberi tentangan sengit dalam aksi penuh mendebarkan di set penentuan.

Biarpun mereka ketinggalan lima mata iaitu 1-6 di awal set ketiga, juara Terbuka Artik itu berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 10 sama.

Mereka terus mengejar mata demi mata dan mengikat kedudukan 17-17 sebelum Lundgaard-Vestergaard menokhtahkan kemenangan 21-18 di set penentuan.

Kemenangan Lundgaard-Vestergaard itu menyaksikan beregu di ranking ke-26 dunia itu melunaskan dendam kekalahan sebelum ini ke atas beregu negara ketika di separuh akhir Masters Abu Dhabi pada 2023.

Rekod pertemuan antara Sze Fei-Izzuddin dan Lundgaard-Vestergaard kini terikat satu sama.

Kekalahan beregu pertama negara itu bermakna, Malaysia ketika ini belum mempunyai wakil di pusingan kedua.

Bagaimanapun harapan Malaysia kini boleh disandarkan kepada beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah akan turun ke gelanggang pada malam ini.

Kredit : Oh bulan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *