Saya tak pernah pukul suami – Zahnita

KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson, 40, menegaskan tidak pernah melakukan keganasan terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47.

Zahnita menyifatkan kenyataan suaminya yang mendakwa menjadi mangsa keganasan sepanjang perkahwinan adalah langkah untuk mempertahan diri.

“Mungkin tuduhan itu dalah salah satu cara untuk dia (Abdul Zackery) mempertahankan dirinya.

“Saya menafikan segala tuduhan yang dibuat, malah saya juga tidak pernah pukul dia,” katanya kepada BH Online.

Semalam, Abdul Zackery dilapor mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang 20 tahun perkahwinan mereka.

Abdul Zackery mendakwa, Zahnita melakukan keganasan terhadapnya dengan menggunakan seni bela diri, Muay Thai, selain menafikan pernah memukul isterinya itu.

Abdul Zackery dilapor berkata, pergaduhan antara mereka tercetus pada November tahun lalu selepas Zahnita menyewa sebuah rumah tanpa pengetahuannya.

Dalam pada itu, Zahnita mengaku seni bela diri, Muay Thai yang dipelajarinya adalah untuk mempertahan diri.

Zahnita berkata, dia juga tidak terkejut dengan tuduhan dilemparkan Abdul Zackery kerana sebelum ini suaminya itu pernah mengugut untuk mengeluarkan kenyataan secara terbuka jika laporan polis yang dibuat tidak ditarik semula.

“Betul saya memang ada sertai kelas muay thai secara profesional sejak 2016, tetapi hanya untuk tujuan mempertahankan diri.

“Sebelum ini, dia pernah beri amaran kepada saya untuk keluarkan kenyataan secara terbuka jika saya tidak ikut syaratnya. Dia minta saya tarik semula laporan polis mengenai keganasana yang dibuat ke atas saya.

“Disebabkan itu, saya tidak terkejut dengan apa yang berlaku ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan hantaran dimuat naik Zahnita di Intagram (IG) mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya yang lebam.

Rentetan itu, Zahnita dilapor berkata, sepanjang berumah tangga bersama Abdul Zackery Ghouse hidupnya umpama hamba sehingga tertanya mengapa diperlakukan sedemikian oleh suami sendiri.

Pada 5 Disember lalu, Abdul Zackery Ghouse didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *