KUALA LUMPUR: Diana Danielle sedia mempromosikan filem seram arahan Joel Soh berjudul Baran biarpun suami, Farid Kamil, yang berlakon bersama dalam naskhah itu, turut serta dalam program berkenaan.
Diana lebih gemar mengambil pendekatan profesional kerana enggan mencampur aduk urusan kerja dan peribadi.
“Saya tiada masalah hendak mempromosikan Baran. Jika ada syarikat produksi tawarkan kami berlakon bersama, saya terima.
“Sebagai pelakon, saya akui Farid berkaliber. Sesiapa sahaja yang digandingkan dengan Farid pasti sangat beruntung .
“Dia berbakat, lagipun Farid sudah bina nama dengan lama dalam bidang lakonan.
“Bagi saya dunia ini kecil. Pusing-pusing, jumpa orang sama. Jadi, saya sangat berbesar hati dan sanggup menimbang jika ditawarkan berlakon bersama Farid selepas ini,” katanya ditemui di majlis berinai pelakon filem Pulau, Sajna Suri di sini, semalam.
Diana yang tidak lagi tinggal sebumbung dengan Farid berikutan proses perceraian, memuji sikap suami yang sangat mengambil berat hal anak-anak.
Tambah Diana, dia tidak pernah menghalang Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10, untuk berjumpa bapa mereka pada bila-bila masa.
Diana berkata, sejak menimang cahaya mata hingga rumah tangga yang dibina dilanda badai, Farid, tidak pernah culas memberikan nafkah buat anak-anak.
“Biasanya, jika hendak berjumpa anak, Farid akan hubungi mereka sendiri. Kemudian, Muhammad dan Aurora akan beritahu bila hendak jumpa bapa mereka,” katanya.
Mengenai rumah milik Farid di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, yang dikatakan mahu dilelong, namun, akhirnya, dilapor prosiding itu tidak diteruskan, Diana tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
“Kami pernah duduk di rumah itu pada awal perkahwinan. Selepas itu, saya tidak ambil tahu langsung kerana itu rumah Farid,” katanya.
Kredit : Berita Harian