Dituduh tidak sekufu Syed Saddiq pertahan Bella
2 mins read

Dituduh tidak sekufu Syed Saddiq pertahan Bella

KUALA LUMPUR: Berdepan kecaman segelintir pihak yang mempertikaikan kesesuaian Bella Astillah sebagai pasangan hidupnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan tanggungjawabnya sebagai suami adalah memastikan kebahagiaan isteri tercinta itu terus terpelihara.

Syed Saddiq berkata, tindakannya mempertahankan Bella secara terbuka bukan bermakna dia mahu melayan setiap kritikan, sebaliknya memilih untuk bersuara apabila mempunyai peluang dan platform yang sesuai.

Katanya, kritikan terhadap Bella bukan perkara baharu kerana pelakon dan penyanyi itu sudah berdepan kecaman sedemikian sejak tahun lalu.

“Sudah tentu menjadi tanggungjawab saya sebagai suami. Pada masa sama, saya bukan bercakap sesuatu yang tidak benar. Itu fakta dan kebenaran.

“Walaupun kadangkala kita memilih untuk berdiam diri kerana tidak perlu memberikan respons terhadap semua perkara, apabila saya mendapat peluang dan platform yang sesuai, saya akan memberikan respons.

“Itu tanggungjawab saya sebagai suami untuk membantu dalam apa jua cara yang boleh,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam

Mengulas sama ada kritikan yang mendakwa Bella tidak sepadan dengannya mengguris perasaan, Syed Saddiq berkata, dia tidak mengambil perkara itu secara peribadi.

Sebaliknya, beliau mahu memastikan isterinya sentiasa berasa gembira dan bahagia, selain tidak perlu terbeban dengan tuntutan untuk menjawab setiap kecaman yang dilemparkan.

“Sejujurnya, saya tidak mengambil perkara itu secara peribadi. Namun, pada masa sama, saya mahu memastikan isteri saya bahagia.

“Perkara ini bukan baharu. Sudah berbulan-bulan, malah sejak tahun lalu lagi. Saya mahu memastikan saya dapat membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada isteri saya.

“Kadangkala, isteri tidak perlu memberikan respons. Ada masanya, berdiam diri adalah respons terbaik. Namun, ada juga ketika saya sendiri perlu tampil mempertahankan isteri,” katanya.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan pada majlis resepsi berkenaan, Syed Saddiq mengakui dirinya berasa tidak layak untuk dibandingkan dengan Bella apabila membicarakan soal sekufu.

“Kalau nak bicarakan soal sekufu, saya yang tak layak untuk berdiri di sebelah Bella. She is the ultimate green forest, she is the ultimate mother. I am privileged to call her my wonderful wife (Dia wanita yang sangat baik dan ibu yang hebat. Saya bertuah dapat memanggilnya isteri yang saya cintai),” katanya.

Ucapan itu mengundang tepukan gemuruh kira-kira 3,000 tetamu yang hadir meraikan hari bahagia pasangan berkenaan.

Kredit : Berita Harian