Siti Nurhaliza raih dua pengiktirafan Asean Records dan Asia Records
1 min read

Siti Nurhaliza raih dua pengiktirafan Asean Records dan Asia Records

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, terus mengukir pencapaian dalam industri muzik apabila meraih dua pengiktirafan daripada Asean Records dan Asia Records menerusi kejayaan penganjuran Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan kedua-dua konsert berkenaan menarik kehadiran keseluruhan 145,000 penonton dalam tempoh 10 bulan, selain mengiktiraf usaha Siti mengangkat muzik tradisional menerusi pementasan berskala besar.

Siti menerima dua pengiktirafan berkenaan pada Majlis Malam Apresiasi Meraikan Kejayaan Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Bukit Kiara, di sini, malam tadi.

Pengiktirafan pertama diberikan bagi kategori Jumlah Kehadiran Gabungan Tertinggi bagi Dua Konsert Solo di Stadium oleh Artis Rakaman Berbahasa Melayu, membabitkan keseluruhan 145,000 penonton yang menghadiri kedua-dua konsert berkenaan.

Jumlah itu merangkumi 72,000 penonton pada Konsert Legacy 30 yang berlangsung pada 10 Januari lalu, manakala Konsert Gema Bumantara pada 17 Oktober lalu menarik kehadiran 73,000 penonton.

Sementara itu, pengiktirafan kedua diberikan bagi kategori Konsert Muzik Tradisional Solo Terbesar dan Paling Ramai Dihadiri oleh Artis Rakaman Wanita menerusi penganjuran Gema Bumantara yang menghimpunkan 73,000 penonton.

Konsert berkenaan turut menyaksikan Siti mempersembahkan 34 lagu tradisional dalam persembahan yang berlangsung lebih tiga jam 30 minit.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan keupayaan penyanyi berkenaan menarik sokongan peminat dalam skala besar, selain memperlihatkan muzik tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila dipersembahkan menerusi produksi bertaraf mega.

Kedua-dua pengiktirafan berkenaan disampaikan Penasihat Rekod Asean dan Asia, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Majlis berkenaan turut dihadiri rakan artis yang terbabit dalam menjayakan kedua-dua konsert berkenaan, antaranya Noh Salleh, Hafiz Suip, Haziq Rosebi, Umairah dan Odda.

Kredit : Berita Harian