Pelakon, Hun Haqeem tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila impiannya untuk bergandingan dengan aktres, Nabila Huda akhirnya menjadi kenyataan menerusi drama bersiri Viu Original berjudul Cela.
Impian jadi kenyataan

Menurut Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 28, peluang berkongsi set bersama Nabila merupakan antara detik yang paling dinantikan sepanjang bergelar pelakon.
Boleh saya katakan, dapat berlakon dan bekerjasama dengan Nabila Huda ibarat mimpi menjadi realiti. Saya memang tidak sangka dan tidak pernah menjangka peluang itu akhirnya tiba.
Dia seorang pelakon yang sangat hebat dan saya berharap kami dapat bergandingan sekali lagi pada masa akan datang.
Hun berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Cela yang diadakan di Hulu Langat, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran, Hun mengakui dia pada awalnya menjangkakan akan berasa gementar untuk berlakon bersama Nabila, namun tanggapan tersebut ternyata meleset.
Perasaan takut itu tidaklah begitu kuat kerana apabila berjumpa dengannya, dia seorang yang sangat mudah membuatkan orang di sekeliling berasa selesa.
Saya juga melihat dia sangat mesra dan sering bergelak ketawa bersama kru serta pasukan produksi. Sikap itu membuatkan saya semakin mengaguminya.
Dalam pada itu, Hun mengakui tidak sukar untuk mencari keserasian bersama Nabila di hadapan kamera.
Dari segi lakonan, sangat mudah untuk kami mencari keserasian. Agak sukar untuk saya jelaskan bagaimana ia berlaku, tetapi mungkin disebabkan kami selesa antara satu sama lain, jadi chemistry itu hadir secara semula jadi.
Setiap adegan yang kami jayakan terasa lebih mudah, ditambah pula dengan bimbingan pengarah, Feroz Kader yang banyak membantu kami sepanjang penggambaran.
Selain Hun dan Nabila, Cela turut dibintangi Zarif Ghazzi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Lisdawati serta ramai lagi. Drama terbitan Viu Original itu dijadualkan menemui penonton bermula Ogos depan.
Kredit : Oh bulan
