Wujud akta had masa bekerja

KUALA LUMPUR: Isu artis dan kru produksi dikerah bekerja sehingga 20 jam sehari menjadi polemik apabila mula dibangkitkan pelbagai pihak, baru-baru ini.

Ini termasuklah golongan artis yang tidak lagi tahan berada di lokasi penggambaran sepanjang hari selama berminggu-minggu, sedangkan mereka bukan robot dan memerlukan rehat mencukupi untuk tidak menjejaskan prestasi lakonan.

Sehubungan itu, Persatuan Seniman Malaysian (SENIMAN) memohon kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mewujudkan akta had masa bekerja untuk menyelesaikan tindakan produksi yang masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga pelakon dan kru ‘lunyai’ akibat bekerja lebih masa.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, pihaknya terkesan apabila artis dan kru menuding jari kepada SENIMAN susulan isu kerja lebih masa dan jadual penggambaran tidak menentu.

Sedangkan, katanya, ia bukan di bawah bidang kuasa SENIMAN, mahupun persatuan seni lain.

Zed berkata, dia sudah membangkitkan isu kerja lebih masa sebelum timbul polemik ketika menjadi seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah FINAS sejak pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, respon diperoleh amat mengecewakan apabila isu berkenaan masih tergantung dan belum dapat diselesaikan.

“SENIMAN hanya boleh mengusulkan cadangan ketika mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah, tetapi tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan akta berhubung had masa kerja kerana ia termaktub dalam akta di bawah FINAS.

“Isu kerja lebih masa sudah lama disuarakan SENIMAN. Secara kebetulan, ketika itu saya masih memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah. Saya menggunakan kesempatan mengemukakan cadangan pada pertengahan tahun lalu, tetapi belum dapat diselesaikan sehingga isu ini tular membabitkan satu produksi mengerah artis dan kru bekerja sehingga 20 jam, baru-baru ini.

“Ia membangkitkan kemarahan golongan artis dan kru produksi sehingga SENIMAN dipersalahkan dan dilihat seperti tidak memperjuangkan isu had masa bekerja.

“Apa yang mampu dilakukan SENIMAN, sedangkan FINAS masih terus mengkajinya. Jadi, SENIMAN mohon FINAS mewujudkan akta atau dasar baharu agar ekosistem industri seni dapat dibetulkan,” katanya kepada BH Online.

Tambah Zed, usaha SENIMAN berjuang untuk kebaikan golongan seni seakan terbantut selagi dasar atau akta baharu tidak diperkenalkan.

“Memang sedih mengenangkan nasib anak seni. Kita tiada langsung akta berhubung had masa bekerja, ia menyebabkan ada produksi mengambil kesempatan memperguna dan mengerah artis serta kru bekerja sesuka hati,” katanya.

Sharnaaz berang tindakan produksi yang masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga pelakon dan kru ‘lunyai’ bekerja sehingga 20 jam sehari. - Foto IG Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz berang tindakan produksi yang masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga pelakon dan kru ‘lunyai’ bekerja sehingga 20 jam sehari. – Foto IG Sharnaaz Ahmad

Justeru, Zed memohon anak seni tidak hanya meletakkan kesalahan ke bahu SENIMAN, sedangkan bukan tiada usaha yang dilakukan bagi membela nasib golongan seni.

Zed berkata, SENIMAN sedia bekerjasama dengan FINAS sekiranya mereka memerlukan cadangan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“FINAS boleh merujuk kepada SENIMAN dan persatuan seni lain untuk mencari jalan penyelesaian. Saya tiada masalah untuk membantu agensi berkenaan mencapai solusi.

“Usaha ini harus diperjuangkan bersama. Apa yang saya lihat, FINAS sering memberi jawapan selamat mahu mengkaji isu berkenaan, sedangkan ia kian menjadi barah dalam industri seni kreatif.

“Selagi tidak wujud akta had masa bekerja dan terus menumpang akta lain, isu ini tidak akan selesai,” katanya.

Zed mempersoalkan, dia tidak faham kenapa industri seni kreatif yang menjadi penyumbang RM1.9 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kewujudan fakulti seni yang tumbuh bagai cendawan, tetapi masih tidak ada akta had masa bekerja.

“Saya percaya sekiranya akta diwujudkan lebih mudah FINAS melakukan pemantauan. Mana-mana syarikat produksi ingkar akta boleh ditarik balik Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

“Sebab itulah kewujudan akta penting bagi memperbaiki ekosistem industri seni.

“Golongan artis dan kru juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan akta, mereka boleh bersuara sekiranya dikerah bekerja lebih masa.

Apabila mendapat cukup rehat, mereka dapat memberikan hasil kerja terbaik.

“Walaupun perkara ini nampak remeh, ia boleh membawa masalah besar jika berlarutan.

“Sebab itu, saya cadangkan FINAS memanggil persatuan seni untuk berbincang bagaimana boleh memperbaiki ekosistem industri seni. Tidak guna terus mengkaji sekiranya isu ini tergantung dan tidak selesai dengan segera,” kata Zed.

Terdahulu, aktor Sharnaaz Ahmad dikatakan berang dengan tindakan produksi yang masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga pelakon dan kru ‘lunyai’ bekerja sehingga 20 jam sehari.

Menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), Sharnaaz meminta SENIMAN dan persatuan seni memantau, sekali gus mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan budaya lapuk tidak berulang.

 

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *