Pencipta Resipi Ayam Tikka Masala, Ali Ahmed Aslam Meninggal Dunia
Seorang tukang masak yang dipercayai telah mencipta masakan ayam tikka masala dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 77 tahun, lapor The Guardian.
Kematian Ali Ahmed pada hari Isnin lalu diumumkan oleh restoran miliknya yang bernama Shish Mahal di Glasgow.
Restoran itu dilaporkan ditutup selama 48 jam untuk beri penghormatan kepada beliau.
“Hei, penggemar Shish, Encik Ali telah meninggal dunia pagi ini. Kami benar-benar sedih dengan khabar tersebut,” umum restoran tersebut.
Pengebumian beliau telah diadakan di Masjid pusat Glasgow pada hari Selasa. Orang ramai juga turut dijemput hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau.
Ali dilahirkan di Pakistan dan berpindah bersama keluarganya ke Glasgow semasa kecil sebelum membuka restoran Shish Mahal di barat Glasgow pada 1964. Beliau juga sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak.
Sebelum ini, menerusi temu bual beliau bersama AFP, Ali menjelaskan bahawa dia mencipta resipi ayam tikka masala pada 1970-an selepas pelanggannya meminta untuk membuat masakan ayam tikkanya kurang kering. Ali telah menyelesaikan permintaan tersebut dengan menambah sos tamato yang berkrim.
“Ayam tikka masala telah dicipta di restoran ini. Kami sering membuat ayam tikka, namun suatu hari seorang pelanggan berkata, saya akan memakannya dengan sedikit sos kerana masakan ini sedikit kering.
“Kami rasa lebih baik untuk kami memasak ayam tersebut bersama sos. Jadi dari situ, kami mula memasak tikka ayam dengan sos yang mengandungi yogurt, krim dan rempah.
“Ia adalah hidangan yang disediakan mengikut citarasa pelanggan kami. Biasanya mereka tidak memakan kari panas, sebab itulah kami memasaknya dengan yogurt dan krim,” kata ali kepada AFP.
Pada 2009, Mohammad Sarwar seorang ahli parlimen Buruh Glasgow Central telah menyeru untuk mengiktiraf bandar itu secara rasmi sebagai rumah kepada ayam tikka masala.
Namun pengiktirafan itu telah gagal dilaksanakan berikutan beberapa pertubuhan lain di sekitar UK juga mendakwa telah mencipta hidangan popular berkenaan.
Kredit: Siakap Keli