‘Saya tetap UMNO, dulu kini dan selamanya’

PETALING JAYA: UMNO tidak boleh salah langkah lagi selepas parti itu bersama Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan Bendahari Agong BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menegaskan UMNO perlu menyedari dan menginsafi susulan kekalahan itu dengan membetulkan kelemahan yang berlaku.

“PRU15 BN kalah teruk hanya dapat 30 kerusi saja, …satu keputusan yang sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita semua khususnya warga UMNO dan BN.

“Sesungguhnya kita perlu lakukan penambahbaikan dan apa juga pembetulan yang diperlukan untuk parti kesayangan kita ini.

“Banyak sangat kerja kena buat kalau nak pulihkan semula keyakinan rakyat. Kita tak boleh salah langkah lagi,” katanya dalam satu rakaman video laman sosialnya, malam tadi.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menegaskan beliau akan menggunakan masa yang ada untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Memandangkan sekarang ada sedikit kelebihan masa, tidaklah sesibuk sebelum ini, masa yang ada ini saya akan gunakan sebaik mungkin demi kelangsungan dan masa depan parti,” katanya dipercayai merujuk kedudukan beliau yang tidak lagi berada dalam Kabinet.

Beliau juga menolak tuduhan kononnya bakal meninggalkan BN dan menyertai parti lain sambil menegaskan akan kekal setia kepada UMNO.

Hishammuddin Hussein. - Foto fail NSTP/ Farizul Hafiz Awang
Hishammuddin Hussein. – Foto fail NSTP/ Farizul Hafiz Awang

“Ada satu soalan yang selalu orang tanya saya, pendirian macam mana dan selepas ini apa hala tuju dalam politik, bagi saya mudah saja. Saya tetap UMNO dulu, kini selamanya,” katanya.

Sehari selepas PRU15, Hishammuddin menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan di Facebook itu, beliau menyatakan keperluan parti itu untuk bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *