KUALA LUMPUR: Maestro muzik yang mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an, Datuk Seri Ahmad Nawab, 91, dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Ahmad Nawab yang melahirkan nama besar dunia seni suara seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram, adalah dalam kalangan 839 tokoh dan individu yang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2023 daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab atau nama sebenar, Ahmad Khan Nawab Khan, dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Ahmad Nawab cukup dikenali dengan tiupan saksofonnya. Foto Arkib NSTP
Ahmad Nawab cukup dikenali dengan tiupan saksofonnya. Foto Arkib NSTP

Ahmad Nawab menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Khadijah yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.

Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000.

Ahmad Nawab bersama anak didiknya, Jamal. Foto Arkib NSTP
Ahmad Nawab bersama anak didiknya, Jamal. Foto Arkib NSTP

Selain Ahmad Nawab, penyanyi popular era 1970-an, Datuk DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah menjadi antara 28 penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

DJ Dave tersenarai bagi kategori sukarelawan untuk jasanya sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.

Anak seni lain yang turut dikurniakan darjah kebesaran adalah seniwati Fauziah Nawi, 70, yang menerima Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) bagi kategori penggiat seni sebagai pengiktirafan terhadap jasa sepanjang berkecimpung dalam dunia kreatif.

 

Kredit: Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *