KUALA LUMPUR: Tiada apa yang membanggakan penyanyi lagu Patah Seribu, Shila Amzah tatkala mengetahui pencapaiannya dalam bidang muzik terpampang di World Expo Osaka 2025 di Pulau Yumeshima, Jepun, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Shila, 35, tidak mengetahui mengenai pameran itu, sebaliknya hanya menyedarinya selepas dikongsikan seorang pengguna akaun X.
Katanya, sebagai individu diangkat di sebuah pameran yang dihadiri ribuan manusia dari seluruh dunia, tentunya sangat berbangga, namun ia bukanlah untuk bermegah-megah mahupun mendabik dada.
“Sejujurnya, saya hanya menyedari wajah dan pencapaian terpampang di sebuah ekspo bertaraf dunia selepas terbaca dan terlihat perkongsian pengguna akaun X.
“Bagi saya, apa sahaja perkara baik ditulis tidak kira di Malaysia mahupun luar negara amatlah saya hargai.
“Saya bekerja keras bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi demi mengharumkan nama negara, jadi pastinya saya sangat bersyukur.
“Bagaimanapun saya enggan meninggi diri. Apabila kita sudah cukup berusaha dan doa, kemudian datangnya rezeki sebegini tentulah saya merasa sangat bangga,” katanya kepada BH Online.

Juara pertandingan realiti, Asian Wave di China pada 2021 itu hanya berharap pencapaian diraih dalam bidang muzik yang sudah diceburi sejak kecil hingga meraih pelbagai pencapaian sampai ke luar negara dapat dijadikan inspirasi kepada generasi anak muda.
Shila berterima kasih kepada peminat tanah air kerana menghargai kerjaya muziknya termasuk ada yang mencadangkan dia diberikan pengiktirafan tinggi.
Baru-baru ini, nama Shila terpampang pada acara berprestij yang berlangsung setiap lima tahun sekali.
Acara itu membuka ruang untuk dunia mengenali lebih dekat kejayaan anak seni dari pelbagai negara. Nama Shila antara kebanggaan apabila dipilih mewakili Malaysia dalam bidang hiburan.
Menerusi perkongsian itu, dilampirkan senarai kemenangannya dalam beberapa pertandingan nyanyian di China termasuk Asian Waze 2012 musim pertama yang menyaksikannya bergelar juara.
Antara kemenangan lain ialah berada di tempat ketiga program realiti, I Am A Singer 2014, selain dipilih ke World Music Awards di Amerika Syarikat bagi kategori Penyanyi Wanita Terbaik, Penghibur Terbaik dan Video Terbaik.
Ekspo itu berlangsung selama enam bulan antara 13 April sehingga 13 Oktober, tahun ini.
World Expo Osaka 2025 menyaksikan penyertaan 160 negara dan wilayah yang mempamerkan pencapaian teknologi, budaya dan kulinari negara yang menyertainya.
Ekspo anjuran Biro Antarabangsa, Osaka itu mengangkat tema ‘Merangka Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan’.
Ini adalah kali kedua Osaka menganjurkan Ekspo Dunia selepas Ekspo 1970. Acara itu kembali kepada kitaran 5 tahun sekali dengan jumlah pelawat dianggarkan 28 juta.
Kredit : Berita Harian
