Ahmad Aslam cari masa sesuai bertemu, mohon maaf kepada Abby Abadi

KUALA LUMPUR: Suami kepada Marissa Dania Hakim iaitu Ahmad Aslam akan mencari ruang untuk membuat permohonan maaf kepada ibu mentuanya, Abby Abadi.

Ahmad Aslam berkata, dia mempunyai perancangan untuk melakukan perkara berkenaan bagi menyelesaikan kemelut keluarga mereka.

“Saya sudah keluarkan kenyataan sebelum ini. Tapi, saya belum berjumpa dengan ibu mentua selepas keluarkan kenyataan. Sehingga kini, hanya Marissa yang sudah berjumpa mama.

“Memang saya ada perancangan untuk berjumpa dengannya, insya-Allah bila saya kelapangan. Saya juga mencari masa sesuai untuk berjumpa dengannya,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Aslam mengakui, masalah berpunca daripadanya dan berharap isu berlarutan dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya sedar dan akui kesalahan saya. Jadi, saya minta semua pihak tak perlu mengeruhkan lagi keadaan. Saya pun manusia biasa, ada buat salah dan cuba perbaiki diri, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Abby meluahkan rasa hairan apabila ada pihak yang memintanya memohon maaf kepada madu Marissa, iaitu Umisya Mazlan.

Bagaimanapun, Abby mempersoalkan permintaan itu sebaliknya meminta menantunya, Ahmad Aslam perlu datang memohon maaf kepadanya.

Susulan itu, Ahmad Aslam tampil dengan satu kenyataan panjang. Antaranya, secara terbuka membuat permohonan maaf kepada ibu mentuanya itu.

Marissa dan Ahmad Aslam berkahwin di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023. Ahmad Aslam dan Umisya mendirikan rumah tangga pada Julai 2020.

Pasangan itu pernah bercerai pada September 2023, sebelum kembali rujuk ketika dalam tempoh edah.

Hasil perkahwinan, Ahmad Aslam dan Umisya dikurniakan tiga cahaya mata, Hud, 4, Nuh, 3, dan bayi perempuan yang kini berusia dua bulan. Manakala bersama Marissa pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *