KUALA LUMPUR: Komposer Man Senoi dan isteri, Mama Rap yang mempertimbang mengambil tindakan terhadap kumpulan 4U2C dalam penganjuran WE 4U2C Live in Concert, September depan, masih menunggu maklum balas daripada kumpulan hip hop itu.
Selaku pemilik hak cipta lagu-lagu 4U2C, Man Senoi atau nama sebenar, Othman Masri, 72, mendakwa 4U2C atau penganjur konsert belum berjumpa mereka untuk berbincang mengenai penggunaan semua lagu 4U2C yang menjadi hak miliknya pada konsert itu.
“Setakat ini, masih belum ada pihak sana, sama ada 4U2C atau penganjur konsert hubungi saya.
“Cuma Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez beritahu pihaknya akan bantu selesaikan masalah ini,” katanya kepada BH Online.

Isu penggunaan lagu pada konsert 4U2C hangat diperkatakan apabila Man Senoi dan Mama Rap, baru-baru ini, dilapor mendakwa hak cipta lagu kumpulan hip hop popular era 1990-an itu adalah milik mereka. Namun, baik Man Senoi dan isterinya, masing-masing mendakwa tidak dimaklumkan mengenai penganjuran WE 4U2C Live in Concert.
Man Senoi dilapor mempersoalkan bagaimana 4U2C hendak mementaskan konsert jika 25 lagu dinyanyikan adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.
Man Senoi berkata, syarikatnya sedia berbincang dan menyelesaikan semua isu secara baik, namun, setakat ini masih belum menerima maklum balas daripada 4U2C.
“Perkara berbangkit seperti ini tidak pernah berlaku. Ini adalah kali pertama. Jadi, saya mahu cakap iya pun, tidak boleh. Hendak cakap tidak pun, tak boleh.
“Saya perlu buat keputusan betul mengenai perkara ini. Ini semua tertakluk kepada maklum balas mereka (4U2C). Kalau masih berkeras, saya akan fikir lain.
“Syarikat kami boleh bekerjasama, tetapi, mereka perlu ikut saluran betul. Mereka juga perlu faham bagaimana perjanjian dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata konflik antara Man Senoi, Mama Rap dan 4U2C perlu diselesaikan dengan meneliti kembali terma perjanjian yang disepakati mereka.
“Ini termasuk perjanjian yang sudah dibuat bersama MACP selaku pihak yang berperanan dalam hal berkaitan pelesenan, hak cipta karya muzik dan kutipan royalti.
“Perkara ini bergantung kepada perjanjian antara Man Senoi bersama MACP dan 4U2C. Saya tidak pasti kandungan perjanjian antara kedua-dua pihak.
“Jadi, kebiasaannya, apabila menjadi ahli MACP, ahli akan memberi mandat kepada badan itu untuk mengutip pendapatan dan melesenkan persembahan konsert.
“Maksudnya, untuk promoter atau pihak penganjur yang mahu membuat konsert 4U2C, perlu memperolehi kebenaran yang diperlukan untuk kumpulan itu menggunakan lagu-lagu yang akan dipersembahkan,” katanya.
Rosmin berkata, dalam isu berkaitan hak cipta lagu, terma perjanjian antara kedua-dua pihak perlu dijadikan asas untuk menyelesaikannya.
Jelas Rosmin, ini termasuk dengan mandat yang sudah diberikan Man Senoi selaku komposer atau pemilik karya kepada MACP.
“Jika Man Senoi sudah memberi mandat itu kepada MACP, maka MACP memang berhak membenarkan penggunaan lagu-lagu oleh pihak penganjur berkenaan.
“Tapi, saya tak pasti bagaimana perjanjian antara Man Senoi dan MACP. Perkara ini bergantung kepada kandungan atau terma perjanjian antara kedua-dua pihak.
“Sama ada perlu 4U2C mendapatkan kebenaran daripada Man Senoi atau tidak, semua itu perlu melihat kepada butiran perjanjian,” katanya.
Rosmin mencadangkan pihak terbabit seperti Man Senoi, 4U2C dan penganjur konsert duduk semeja bagi menyelesaikan konflik yang berlaku secara baik.
“Apa yang sebaiknya, mereka boleh duduk sekali dan berbincang untuk menyelesaikan perkara ini supaya semua pihak berkepentingan dapat kebaikan daripada projek yang dirancang.
“Kalau semua pihak dapat capai kata sepakat dari segi pendapatan persembahan, itu yang sebaiknya. Tetapi, ini semua perlu berlandaskan terma dalam perjanjian berkenaan,” katanya.
Kredit : Berita Harian
