Foto hiasan
Foto hiasan

Sukan boleh ditakrifkan sebagai aktiviti fizikal yang dijalankan bagi tujuan rekreasi, kesihatan dan persaingan. Ia merangkumi pelbagai jenis aktiviti seperti berlari, berenang, berbasikal dan sebagainya.

Sukan berperanan penting dalam memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh kesihatan jasmani dan mental serta membina keyakinan dan keterampilan diri.

Dalam masyarakat moden, sukan kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup sihat kerana ia menggalakkan aktiviti fizikal teratur dan kunci utama kepada kesihatan yang baik.

Melalui pembabitan aktif, individu dapat meningkatkan daya tahan jasmani, kekuatan otot dan kecergasan kardiovaskular. Selain manfaat fizikal, sukan turut memberi kesan positif terhadap perkembangan mental dan emosi serta membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan menerusi pelepasan endorfin ketika melakukan aktiviti fizikal.

Antara sukan raket yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia ketika ini ialah pickleball. Sukan ini kian popular di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Walaupun dikenali sebagai sukan berimpak rendah dan sesuai untuk semua peringkat umur, terdapat beberapa risiko kecederaan serta aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian, khususnya jika dimainkan tanpa teknik betul atau persediaan fizikal mencukupi.

Dari sudut perkembangan, sukan pickleball di Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila semakin ramai masyarakat tempatan bergiat aktif dalam aktiviti sukan dan senaman.

Namun, risiko serta langkah pencegahan perlu diambil kira bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika bermain.

Antara risiko utama dalam pickleball ialah kecederaan sukan, yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sama ada atlet profesional mahupun individu yang bersenam secara rekreasi.

Antara kecederaan lazim termasuk kekejangan otot, terseliuh sendi dan keradangan.

Kekejangan otot sering berlaku dalam kalangan pemain baharu atau mereka yang tidak melakukan pemanasan secukupnya. Ia terjadi apabila otot mengecut secara tiba-tiba dan tidak terkawal, biasanya membabitkan betis, paha atau tapak kaki.

Puncanya termasuk dehidrasi, kekurangan elektrolit seperti kalsium dan magnesium, serta penggunaan otot secara berlebihan.

Dalam permainan yang menuntut pergerakan pantas dan perubahan arah kerap, otot bekerja lebih keras dan berisiko untuk kejang jika kurang rehat atau hidrasi.

Selain itu, terseliuh sendi, khususnya di bahagian buku lali, juga antara kecederaan biasa. Ia berlaku apabila ligamen terkoyak atau tertarik akibat pergerakan mendadak seperti lompatan atau perubahan arah secara tiba-tiba.

Dalam pickleball, pergerakan lateral yang pantas meningkatkan risiko terseliuh, terutama jika pemain memakai kasut tidak sesuai atau bermain di permukaan licin.

Seterusnya, keradangan di bahagian siku, dikenali sebagai tennis elbow atau epikondilitis lateral, juga kerap dialami pemain pickleball. Ia berpunca daripada pergerakan menghayun raket secara berulang, seperti servis atau pukulan backhand.

Tekanan berterusan pada otot dan tendon menyebabkan keradangan pada bahagian luar siku, dengan simptom seperti sakit ketika menggenggam raket, mengangkat objek atau memusing pergelangan tangan.

Rawatan awal termasuk rehat, penggunaan ais untuk mengurangkan bengkak serta pengambilan ubat antiradang. Jika berlarutan, fisioterapi disyorkan.

Bagi mengelak kecederaan, beberapa langkah pencegahan perlu diambil. Antaranya memastikan hidrasi mencukupi sebelum, ketika dan selepas permainan.

Minuman isotonik boleh membantu menggantikan elektrolit yang hilang akibat peluh.

Pemain juga digalakkan melakukan pemanasan badan selama 10 hingga 15 minit sebelum bermain.

Aktiviti seperti larian ringan dan regangan dinamik membantu meningkatkan aliran darah ke otot serta mengurangkan risiko kekejangan.

Selepas permainan, regangan semula penting untuk membantu otot pulih.

Pemakanan kaya magnesium dan kalsium turut membantu mengelak kekejangan otot. Sementara itu, risiko terseliuh dapat dikurangkan dengan memakai kasut gelanggang sesuai yang mempunyai cengkaman baik dan sokongan buku lali mencukupi.

Latihan penguatan otot kaki dan keseimbangan seperti heel raise dan single-leg balance juga digalakkan.

Pemain dinasihatkan mengelak bermain di permukaan licin atau tidak rata bagi mengurangkan risiko tergelincir.

Untuk mencegah keradangan otot dan tendon seperti tennis elbow atau shoulder tendinitis, teknik pukulan yang betul amat penting. Genggaman raket tidak seharusnya terlalu kuat dan hayunan tidak memaksa sendi secara berlebihan.

Pemilihan raket ringan dan bersesuaian dengan saiz tangan turut membantu mengurangkan tekanan pada otot.

Pemain yang pernah mengalami kecederaan boleh menggunakan pembalut sokongan pada bahagian siku atau bahu ketika bermain secara intensif.

Senaman penguatan otot lengan dan bahu secara berkala pula membantu memperkukuh struktur otot dan tendon.

Secara keseluruhan, pencegahan kecederaan seperti kekejangan otot, terseliuh sendi dan keradangan adalah aspek penting dalam sukan pickleball.

Dengan persediaan fizikal rapi, teknik permainan betul, penggunaan peralatan sesuai serta kesedaran terhadap keadaan badan, pemain dapat menikmati permainan dengan lebih selamat dan berkesan.

Langkah pencegahan bukan sahaja mengelak kecederaan, malah meningkatkan prestasi dan keseronokan dalam sukan ini. Justeru, setiap pemain perlu mengamalkan gaya permainan sihat dan bertanggungjawab demi kelestarian aktiviti sukan pickleball.

* Penulis adalah Pensyarah, Sains Sukan Fakulti Sains Kesihatan dan Sains Hayat Management and Science University (MSU)

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *