March 21, 2026

Makanan ultra proses semakin jadi pilihan

MAKANAN ultra proses semakin menjadi pilihan masyarakat moden kerana rasanya lazat dan sifatnya yang praktikal.

Namun, di sebalik keenakan itu tersembunyi risiko besar terhadap kesihatan.

Kajian terbaharu mendedahkan, pengambilan makanan ultra proses dalam jumlah tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung sehingga hampir 47 peratus.

Persoalannya, mengapakah makanan ini begitu menyelerakan tetapi pada masa sama memudaratkan kesihatan?

Memetik laporan Forbes baru-baru ini, doktor perubatan, Dr Sai Balasubramanian mengulas dapatan kajian yang diterbitkan dalam The American Journal of Medicine.

Kajian membabitkan hampir 4,700 orang dewasa itu mendapati, pengambilan makanan ultra proses secara berlebihan berkait rapat dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular.

Penyakit kardiovaskular merangkumi pelbagai gangguan serius seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, serta masalah pada jantung dan saluran darah. Ia antara punca utama kematian di seluruh dunia.

Secara umumnya, makanan ultra proses dihasilkan melalui pelbagai peringkat pemprosesan industri dan mengandungi pelbagai bahan tambahan seperti pengawet, penstabil, gula tambahan, garam serta campuran lemak tertentu.

Bahan ini bukan sahaja memanjangkan jangka hayat makanan, malah meningkatkan rasa supaya lebih menarik selera.

Menurut Dr Sai, banyak produk siap dimakan dirumus secara khusus dengan gabungan lemak, karbohidrat dan natrium pada kadar tertentu bagi menghasi lkan rasa yang ‘sempurna’.

Kombinasi ini merangsang pusat keseronokan di otak, sekali gus mendorong individu untuk terus makan tanpa sedar.

Tambahan pula, produk seperti makanan segera, mi segera dan snek berbungkus dipasarkan sebagai solusi pantas untuk individu yang sibuk. Faktor kemudahan dan rasa yang kuat menjadikan makanan ultra proses semakin popular, walaupun kesannya terhadap kesihatan kian membimbangkan.

Justeru, kesedaran dan kawalan dalam pemilihan makanan amat penting bagi mengurangkan risiko penyakit jantung serta komplikasi kesihatan lain pada masa depan. – AGENSI

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *