April 11, 2026

Tidur Dalam Keadaan Lapar? Ini Kesan Yang Ramai Tak Tahu

Tidur Dalam Keadaan Lapar? Ini Kesan Yang Ramai Tak Tahu

Ada individu yang berasa bersalah apabila makan pada lewat malam kerana bimbang berat badan meningkat.

Namun sebahagian daripada mereka lebih memilih untuk tidur dalam keadaan lapar berbanding mengambil makanan pada waktu tersebut.

Berapa ramai yang mampu tidur lena ketika perut kosong? Walaupun mata terpejam, fikiran masih membayangkan makanan.

Namun begitu, timbul persoalan sama ada amalan tidur dalam keadaan lapar ini baik untuk kesihatan.

Ini sebab mengapa seseorang mungkin tidur dalam keadaan lapar

Menurut Healthline, tidur dalam keadaan lapar mungkin tidak menjadi masalah sekiranya keperluan nutrisi harian telah dipenuhi atau anda mengikuti pelan penurunan berat badan yang sihat.

Berikut ialah beberapa sebab mengapa seseorang mungkin tidur dalam keadaan lapar:

Mengikuti jadual makan yang sihat

Secara umum, jadual pemakanan yang sihat merangkumi tiga hidangan utama sehari, dengan snek ringan antara waktu makan jika perlu.

Bergantung pada waktu tidur, pengambilan diet seimbang yang diakhiri dengan makan malam pada awal petang, iaitu beberapa jam sebelum waktu tidur boleh menyebabkan seseorang berasa sedikit lapar menjelang waktu tidur.

Sengaja mengurangkan pengambilan kalori

Anda mungkin tertidur dalam keadaan lapar jika sengaja mengurangkan pengambilan kalori bagi tujuan penurunan berat badan.

Walau bagaimanapun, pastikan anda masih mengamalkan diet yang seimbang walaupun mengikuti pelan diet yang lebih ketat seperti keto atau vegan.

Perkara ini penting bagi memastikan rasa lapar pada waktu malam tidak menjadi kebimbangan.

Sesetengah pelan diet seperti puasa berselang (intermittent fasting) menetapkan waktu makan tertentu.

Difahamkan, keadaan ini boleh menyebabkan anda berasa lapar menjelang atau sekitar waktu tidur jika tempoh tersebut jatuh dalam waktu berpuasa.

Kurang tidur

Anda juga mungkin berasa lapar sebelum tidur akibat tidak mendapat tidur yang mencukupi.

Keletihan yang berlebihan boleh merangsang hormon ghrelin yang meningkatkan rasa lapar dan keinginan untuk makan.

Selain itu, hormon leptin yang mengawal rasa kenyang juga boleh terganggu akibat kurang tidur, menyebabkan anda berasa lapar walaupun selepas makan.

Oleh itu, mendapatkan tidur yang mencukupi setiap malam adalah penting bagi membantu mengurangkan rasa lapar sebelum tidur.

Kekurangan zat atau malnutrisi

Tidur dalam keadaan lapar juga boleh menjadi tanda kepada keadaan yang lebih serius seperti malnutrisi.

Namun, rasa lapar pada waktu malam akibat kekurangan nutrisi dan kekurangan akses kepada makanan merupakan isu yang berbeza.

Kekurangan zat (undernutrition) ialah sejenis malnutrisi yang ditakrifkan sebagai pengambilan kurang daripada 1,800 kalori sehari serta kekurangan vitamin, mineral dan komponen penting lain dalam diet seimbang.

Adakah terdapat kesan sampingan jika tidur dalam keadaan lapar?

Menurut Healthline lagi, tidur dalam keadaan lapar mungkin membuatkan anda berasa kosong atau tidak puas kerana keinginan untuk makan tidak dipenuhi.

Namun, dalam sesetengah keadaan, ia boleh menjadi lebih sihat berbanding makan terlalu hampir dengan waktu tidur.

Walaupun begitu, jika rasa lapar terlalu kuat atau kerap berlaku, ia mungkin mengganggu kualiti tidur dan menyebabkan anda terjaga pada waktu malam.

Kredit : Siakap Keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *