Ada bezanya Syawal bagi umat Islam di negara ini tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bagi Syawal kali ini, perbincangan umum mengenai erti kemenangan tidak lagi terhad kepada dimensi spiritual semata-mata.

Dalam konteks negara, Syawal kali ini hadir bersama persoalan lebih dekat dengan kehidupan harian rakyat, iaitu mengenai kesejahteraan keluarga, kestabilan ekonomi dan sejauh mana dasar kerajaan benar-benar memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Di sinilah, Syawal tahun ini memperlihatkan makna lebih luas kepada kerangka Malaysia MADANI. Ia tidak lagi dilihat sekadar sebagai gagasan nilai atau slogan pentadbiran, sebaliknya semakin diterjemahkan melalui dasar serta inisiatif dirasai secara langsung oleh rakyat.

Pendekatan menekankan ihsan, keadilan sosial serta pembaharuan ekonomi secara seimbang ini akhirnya memberi ruang kepada rakyat menyambut Aidilfitri dengan suasana lebih tenang dan bermakna.

Hakikatnya, dalam suasana ekonomi global masih belum benar-benar stabil selepas pandemik, isu kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama rakyat. Harga makanan, perubahan harga komoditi dunia serta langkah rasionalisasi subsidi menuntut pendekatan kerajaan lebih tersusun dan bersasar.

Justeru, pelaksanaan beberapa inisiatif utama seperti Program Budi 95, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjadi antara langkah penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Program Budi 95 misalnya diperkenalkan dalam konteks penyusunan semula subsidi bahan api agar bantuan sampai kepada golongan benar-benar memerlukan. Rasionalisasi subsidi diesel bukan sekadar langkah penjimatan fiskal, tetapi usaha memastikan sumber negara diagihkan lebih adil.

Melalui program ini, bantuan tunai disalurkan kepada pemilik kenderaan diesel individu yang layak, khususnya dalam kalangan B40 dan sebahagian M40 yang bergantung kepada kenderaan bagi mencari rezeki.

Kesan program ini sebenarnya melangkaui penerima secara langsung. Apabila kos operasi dapat dikurangkan, peniaga kecil, pengusaha desa dan penyedia perkhidmatan logistik berskala kecil turut mendapat manfaat.

Tekanan kenaikan kos dapat dikawal, sekali gus membantu mengekalkan harga barangan dan perkhidmatan pada tahap lebih stabil. Dalam erti kata mudah, subsidi yang lebih tepat sasaran membantu dalam memastikan rantaian ekonomi rakyat terus bergerak tanpa beban berlebihan.

Pada masa sama, STR terus berperanan sebagai jaringan keselamatan sosial utama negara. Bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana ini memberi kelegaan khususnya ketika menjelang musim perayaan, apabila perbelanjaan keluarga lazimnya meningkat.

Bantuan berkenaan membantu rakyat membuat persiapan Syawal, daripada membeli keperluan dapur hingga menyediakan pakaian dan kelengkapan anak-anak, tanpa tekanan kewangan melampau.

Apa yang penting, bantuan seperti STR tidak hanya memberi manfaat kepada penerima, malah menggerakkan ekonomi tempatan. Wang bantuan diterima lazimnya dibelanjakan semula di kedai runcit, pasar malam, bazar Ramadan dan perniagaan kecil komuniti setempat.

Perbelanjaan ini secara tidak langsung menyokong peniaga tempatan serta merancakkan ekonomi akar umbi. Inilah kesan berganda sering kurang disedari, tetapi amat penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi lebih inklusif.

SARA pula hadir melengkapkan pendekatan berkenaan dengan memberi tumpuan khusus kepada keperluan asas. Melalui kemudahan kredit pembelian barangan asas di premis terpilih, bantuan dapat digunakan terus untuk membeli makanan dan barangan harian.

Pendekatan ini membantu memastikan isi rumah berpendapatan rendah mempunyai akses berterusan kepada keperluan penting, sekali gus mengurangkan tekanan perbelanjaan bulanan.

Perbelanjaan lebih terancang

Gabungan STR dan SARA menunjukkan pendekatan bantuan lebih menyeluruh yang sebahagiannya dalam bentuk tunai fleksibel, manakala yang satu lagi dalam bentuk sokongan terus kepada keperluan asas.

Menjelang Syawal, kombinasi ini memberi ruang kepada keluarga untuk berbelanja secara lebih terancang tanpa perlu mengorbankan keperluan harian.

Selain bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, satu lagi perkembangan penting menarik ialah pelarasan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Pembayaran Fasa 2 dilaksanakan pada 22 Januari 2026 membabitkan kenaikan 3 peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi serta 7 peratus bagi kumpulan pelaksana dan profesional.

Pelarasan ini melengkapkan kenaikan keseluruhan sebanyak 15 peratus seperti dijanjikan kerajaan, dikira berdasarkan gaji akhir Disember 2025 dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada pendapatan boleh guna penjawat awam di seluruh negara. Dengan pendapatan lebih stabil, perbelanjaan isi rumah turut meningkat, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.

Di banyak kawasan bandar kecil dan luar bandar, penjawat awam antara penggerak utama ekonomi setempat, daripada sektor peruncitan hinggalah kepada perkhidmatan. Apabila mereka mempunyai wang lebih untuk dibelanjakan, limpahan kesannya sudah tentu akan turut dinikmati komuniti setempat.

Pada masa sama, pelarasan gaji ini juga mencerminkan penghargaan terhadap peranan penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berjalan dengan cekap dan berkesan. Pada era menuntut sistem penyampaian lebih pantas dan responsif, motivasi serta kesejahteraan tenaga kerja sektor awam menjadi faktor penting kepada kejayaan agenda reformasi negara.

Apabila dilihat secara keseluruhan, Budi 95, STR, SARA serta pelarasan gaji SSPA sebenarnya membentuk satu rangka tindakan saling melengkapi. Kerajaan berusaha mengurus kewangan negara secara berhemah melalui subsidi bersasar, sambil memastikan perlindungan sosial terus diperkukuh. Pendekatan ini menyeimbangkan keperluan ekonomi negara dengan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.

Akhirnya, kejayaan sesuatu dasar tidak diukur melalui angka semata-mata, tetapi melalui pengalaman hidup rakyat. Apabila peniaga kecil menikmati peningkatan jualan menjelang Aidilfitri, apabila keluarga berpendapatan rendah mampu menyediakan keperluan hari raya anak-anak tanpa berhutang dan apabila penjawat awam menyambut Syawal dengan keyakinan bahawa selepas raya dia tidak perlu meminjam, di situlah dasar benar-benar mencapai maknanya.

Walaupun cabaran ekonomi global masih wujud, langkah berteraskan data, keprihatinan sosial dan reformasi berterusan memberi asas lebih kukuh kepada negara untuk bergerak ke hadapan.

Syawal yang sinonim dengan kemenangan selepas kesabaran, turut mencerminkan usaha kolektif membina ekonomi lebih adil dan inklusif.

Justeru, Syawal tahun ini membawa makna sedikit berbeza. Ia bukan sahaja kemenangan spiritual selepas Ramadan, tetapi juga gambaran bagaimana dasar dirancang dengan teliti mampu membantu rakyat menyambut hari kemenangan dengan lebih yakin, bermaruah dan sejahtera.

Inilah makna sebenar jasa MADANI menuju Syawal. Ia membawa kemakmuran untuk dirasai bersama, tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.

Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *