Anwar Ucap Selamat Hari Jadi, Janji Balas Surat Murid Lapan Tahun Diejek Nak Jadi PM

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak Pulau Banggi berusia lapan tahun berjaya menyerahkan sendiri sepucuk surat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Anwar Ibrahim di Facebook, surat yang diserahkan oleh Syam Aariz Rayyan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Nanang kemudiannya dibaca oleh beliau.

Difahamkan, kanak-kanak itu sering menjadi bahan ejekan rakan-rakannya kerana bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, sekali gus menjadikan penyerahan surat tersebut satu detik yang amat bermakna buat dirinya.

Menerusi video berdurasi 50 saat itu, Anwar berkongsi mengenai isi surat berkenaan dan berjanji akan membalas pesanan daripada murid Sekolah Kebangsaan Karakit, Banggi tersebut.

“Terima surat daripada adik Nanang ketika di Pulau Banggi semalam. Ditanya bagaimana mahu jadi pemimpin. Insya-Allah nanti saya utus surat balas

“Pesan saya sentiasa baca buku, sayang dan cium ibu ayah selalu. Dan selamat ulang tahun kelahiran buat Nanang,” ujar beliau lagi.

https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial?ref=embed_video

Anak Pulau Banggi serah surat kepada Anwar, simpan impian jadi pemimpin negara

BERNAMA melaporkan seorang kanak-kanak Pulau Banggi berusia lapan tahun yang sering diejek rakan kerana bercita-cita menjadi Perdana Menteri, melakar detik bermakna dalam hidupnya apabila berjaya menyerahkan sendiri sepucuk surat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pertemuan singkat Syam Aariz Rayyan Abdullah bersama Perdana Menteri pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di sini, membuktikan bahawa cita-cita seorang anak kecil tidak boleh dipandang ringan.

Kanak-kanak itu bersama ibunya, Norsakinah Junaidi, 33, hadir seawal 8 pagi semata-mata untuk menunggu peluang bertemu Anwar dan menyerahkan surat ditulisnya sendiri kepada Perdana Menteri.

Norsakinah berkata anak keduanya itu begitu teruja untuk menulis surat berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kunjungan Perdana Menteri ke Pulau Banggi.

“Saya bagitahu dia, ‘Perdana Menteri nak datang.’ Dia kata, ‘Mama saya nak tulis surat. Saya nak buktikan dengan kawan-kawan, dengan cikgu saya, sebab saya kata saya nak jadi Perdana Menteri diorang ketawakan saya.

“Jadi saya nak tulis surat, saya nak buktikan, saya nak hantar kat Perdana Menteri. Tolonglah saya mama sampaikan surat saya ini kepada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Sebaik berpeluang bertemu pemimpin nombor satu negara itu, jelas terpancar kegembiraan pada wajah Syam Aariz Rayyan apabila impian kecilnya untuk menyerahkan sendiri surat berkenaan menjadi kenyataan.

Bagi kanak-kanak itu, pertemuan singkat tersebut bukan sekadar kenangan manis, sebaliknya menjadi suntikan semangat untuk terus percaya bahawa cita-cita besar tidak wajar dipadam hanya kerana pernah diketawakan.

Norsakinah berkata sebagai ibu, dia akan terus menyokong minat dan cita-cita anaknya, khususnya dalam bidang pendidikan kerana yakin kejayaan bermula daripada keyakinan diri dan usaha yang berterusan.

Bagi Syam Aariz Rayyan, surat kecil itu mungkin hanya sehelai kertas, namun bagi ibunya ia adalah lambang keberanian seorang anak Pulau Banggi untuk menyatakan impian dan membuktikan bahawa cita-cita besar bermula daripada keberanian untuk percaya.

-Siakap Keli

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *