Ruhainies terkilan nama dihina ‘Ruhanat’
KUALA LUMPUR: Terkilan apabila nama yang diberikan ibu bapa dengan maksud yang baik dijadikan bahan ejekan, pelakon Ruhainies mengakui terkesan dengan gelaran berbaur penghinaan ‘Ruhanat’ yang didakwa dilemparkan segelintir netizen terhadapnya sejak tiga tahun lalu.
Ruhainies, 34, berkata gelaran itu bukan sahaja mencalarkan nama baiknya, malah mengguris perasaan apabila namanya dipersendakan sehingga menjadi ikutan pengguna media sosial lain.
“Mereka mengubah nama saya kepada gelaran ‘Ruhanat’. Ibu bapa saya memberikan nama yang baik dan mempunyai maksud yang baik.
“Saya belum mengenal pasti siapa yang memulakan gelaran itu, tetapi netizen lain terus mengikutinya sehingga kini. Perkara ini sudah berlarutan selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung tindakan undang-undang yang diambil terhadap beberapa individu yang didakwa memfitnahnya, bersama wakil peguamnya, di sini, semalam.
Menurut Ruhainies, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan namanya sebagai umpan untuk meraih perhatian di media sosial demi kepentingan komersial, tanpa memikirkan kesan perbuatan itu terhadap emosi individu yang menjadi sasaran.
“Sesetengah pihak menggunakan nama saya sebagai ‘clickbait’ atau ‘rage bait’ untuk meningkatkan capaian akaun mereka bagi menjual produk atau mempromosikan pautan perniagaan.
“Tolonglah fikirkan kesan terhadap emosi mangsa fitnah dan hormatilah hukum-hakam,” katanya.
Bagaimanapun, Ruhainies memilih untuk menerima segala dugaan yang dilalui dengan hati terbuka, malah menganggap pengalaman itu sebagai proses pembelajaran yang mematangkan dirinya.
“Setiap dugaan ada hikmahnya. Sepanjang 34 tahun hidup, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Saya reda dengan ujian ini dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran hidup.
“Selepas ujian ini, banyak rezeki dan kehadiran orang baik datang dalam hidup saya. Saya tidak mahu mengenangkan perkara lalu, sebaliknya mahu fokus pada masa depan serta memperbaiki diri.
“Hikmah terbesar daripada ujian ini adalah saya dapat mendekatkan diri kepada Allah, menjadi lebih matang dan menghargai orang sekeliling,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies melantik dua peguam, Mohd Haizal Ayop daripada EzriLaw Firm dan Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azainie & Fakhrul, bagi menguruskan tindakan undang-undang berhubung dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan tiga individu dikenal pasti.
Pihaknya sudah menyerahkan notis tuntutan (LOD) kepada ketiga-tiga individu terbabit supaya bertanggungjawab terhadap hantaran yang diterbitkan, selain menurunkan atau memadamkan kandungan berkenaan serta membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari bermula semalam.
Sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, pihak Ruhainies akan meneruskan tindakan saman sivil dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada setiap individu terbabit.
Kredit : Berita Harian