AJL39 bolot empat trofi ASA2026
4 mins read

AJL39 bolot empat trofi ASA2026

PUTRAJAYA: Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) mencuri tumpuan pada Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) apabila membolot empat trofi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Media Prima Berhad dalam industri penyiaran tanah air.

Program terbitan TV3 itu memenangi kategori Hiburan Muzikal TV Terbaik menerusi Mohd Jamira Ramli, Penataan Cahaya TV Terbaik (Nageshwaran Ramanujem), Pengimbangan Muzik TV Terbaik (Mohd Zaidi Mahamed Taib) dan Set TV Terbaik (Muhammad Hafizan Muhammad Noor).

Kejayaan Media Prima turut diserlahkan menerusi program hiburan Melodi yang memenangi kategori Montaj TV Terbaik menerusi Mohd Husinnudin Mohd Mohyi.

Selain itu, Buletin Utama meraih kategori Buletin TV Terbaik menerusi Saberi Abdul Malek dan Norazlina A’ala, manakala wartawan TV, Fahmi Tajuddin, dinobatkan sebagai Wartawan TV Terbaik menerusi laporan khas isu pemerdagangan manusia yang disiarkan dalam program berkenaan.

Program Majalah 3: Stadium Merdeka, Saksi Cerita Kita turut meraih kemenangan apabila Rishigeysannambiar Sivasangaram memenangi kategori Jurukamera TV Single Camera Production (SCP) Terbaik.

Sementara itu, drama Selampai Labung dinobatkan sebagai Drama TV1 Terbaik, sekali gus melayakkan Unit Drama TV RTM menerima dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi, selain wang tunai RM5,000 dan trofi.

Dokumentari Di Sebalik Bayangan Harimau yang disiarkan menerusi TV1 pula memenangi kategori Dokumentari TV Terbaik, membolehkan penerbitnya, Baharunnurdalila Baharuddin, menerima ganjaran DKD bernilai RM150,000.

Pengarah, Bade Azmi, dinobatkan sebagai Pengarah Drama TV Terbaik menerusi drama Dosa Tak Terampun yang disiarkan di TV1.

Bagi kategori lakonan, Azhan Rani memenangi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama Wok, manakala Noorkhiriah meraih Pelakon Wanita Drama TV Terbaik menerusi Seribu Tahun.

Azhan berkata, beliau hampir tidak menghadiri majlis berkenaan kerana perlu menguruskan urusan keluarga, malah pada awalnya menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada Allahyarham Jalil Hamid.

“Saya awal-awal sudah ucapkan tahniah pada anak arwah yang mewakilinya dalam media sosial.

“Mula-mula tadi saya sudah hampir tak datang kerana ada urusan keluarga dan buat keputusan untuk datang di saat akhir.

“Saya datang pun tak berapa bersiap sebab niat nak raikan kawan-kawan. Tapi saya tak sangka menang malam ini.

“Jujurnya, masa saya naik ke pentas, saya tidak tahu drama apa yang menang sebab saya tidak dengar pengumuman. Selepas di belakang pentas, baru saya tahu drama Wok yang menang,” katanya.

Kedua-dua pelakon membawa pulang wang tunai RM5,000, dana akaun Durian-i tajaan CIMB bernilai RM5,000 serta trofi.

Kategori Skrip Drama TV Terbaik dimenangi Abror Rivai menerusi drama Kalam Murabbi yang disiarkan di TV Alhijrah.

Bintang legenda, Datuk Rahim Razali, pula dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa. Pengiktirafan itu melayakkan beliau menerima wang tunai RM10,000, dana akaun Durian-i tajaan CIMB bernilai RM8,000, sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 7, pakej percutian dan trofi.

Anugerah Khas Juri diberikan kepada pencipta kandungan animasi, Khui Siaw Fong, menerusi karya Kumang and the Ungrateful Python yang disiarkan di TVS. Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang wang tunai RM8,000 dan sebuah kereta elektrik Perodua QV-E.

Dalam kategori pengacaraan, Muhammad Dinnie Asyraf Salim memenangi Pengacara TV Terbaik menerusi program Pindaan Akta 134 Orang Asli yang disiarkan di Bernama TV.

Otto Othman pula dinobatkan sebagai Penyampai Berita TV Terbaik, manakala Azlan Omar dari Klasik FM dan Dyya Nawai dari Nasional FM masing-masing memenangi kategori Penyampai Radio Lelaki Terbaik dan Penyampai Radio Wanita Terbaik.

Bertemakan Segalanya Bermula Di Sini, ASA2026 mempertandingkan 60 kategori merangkumi televisyen, radio dan media baharu, selain dua anugerah khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.

Dianjurkan sejak 1972, ASA menjadi platform pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan penggiat seni dan karyawan industri kreatif tanah air.

Majlis kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu turut dimeriahkan persembahan artis popular, antaranya Salamiah Hassan, Atilia Haron, Imran Ajmain, Zaki Yamani, Yazmin Aziz, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Aman Ra, Syamel, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno.

ASA2026 dihoskan Datuk Aznil Nawawi dan Sherry Alhadad serta disiarkan menerusi TV1.

Kredit : Berita Harian